Wednesday, August 17, 2022

Kerana habuan RM5,250, penguat kuasa Kawalan Filem KDN terima tiga tuduhan rasuah di Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Mahkamah Khas Rasuah Kuching hari ini menetapkan 16 Jun depan untuk sebutan semula kes seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rasuah ketika bertugas sebagai pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Dalam Negeri di negeri ini.

Ia membabitkan sogokan berjumlah RM5,250, dengan lelaki terbabit dituduh menerima rasuah melalui tiga transaksi bernilai RM1,750 setiap satunya daripada seorang lelaki, termasuk dua kali melalui transaksi bank.

Rasuah ini sebagai dorongan kepada tertuduh untuk tidak mengambil tindakan terhadap 11 premis yang menjual VCD dan DVD haram di Sibu, yang didapati melanggar peraturan Akta Penapisan Filem 2002.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan tersebut dua tahun lalu di beberapa lokasi di Kuching yang jelas melanggar Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh berhadapan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, dan denda sebanyak RM10 ribu atau lima kali ganda nilai suapan, tertakluk nilai yang lebih tinggi.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong turut menetapkan 1 hingga 4 Ogos depan sebagai tarikh mendengar kes tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh Low Chin How manakala tertuduh tidak diwakili.

Sementara menunggu tarikh perbicaraan, tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM15 ribu menerusi dua penjamin. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru