Thursday, September 29, 2022

Amanah: Biar Anwar menjadi PM kelapan, bukan PM ketujuh

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Nama lain perlu diletakkan terlebih dahulu untuk jawatan Perdana Menteri  ketujuh, dan bukannya Datuk Seri  Anwar Ibrahim bagi merangsang kepercayaan rakyat, kata Timbalan Presiden Amanah.

Salahuddin Ayub berpendirian belum tiba masanya untuk  bekas pemimpin pembangkang itu yang kini meringkuk dalam penjara di Sungai Buloh untuk memegang jawatan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU-14.

Untuk itu, ujarnya dalam satu kenyataan hari ini, parti komponen pembangkang harus bijak merancang strategi untuk mendapatkan kepercayaan rakyat mengundi mereka pada PRU akan datang. 

“DSAI lebih bagus jika dilantik menjadi PM kelapan dan bukannya ketujuh, ini kerana Majlis Presiden Pakatan Harapan mesti memilih calon PM terbaik untuk merangsang kepercayaan rakyat sekali gus memenangi PRU14,” katanya.

Kenyataan itu yang dikeluarkan di sebalik pertelagahan Pakatan Harapan tentang calon Perdana Menteri paling sesuai, dan kajian terbaharu Invoke menyatakan Anwar berada paling atas sebagai calon.

Selain itu, katanya Perdana Menteri ketujuh juga bertanggunjawab untuk membentuk kabinet baharu, melakukan reformasi urus tadbir dan berusaha untuk mendapatkan pengampunan Anwar.

Salahuddin berkata, sekarang merupakan masa yang penting untuk mendapatkan kepercayaan rakyat dan pimpinan Pakatan Harapan harus merealisasikannya. 

“Sebenarnya, jalan penyelesaian terbentang luas di hadapan kita. Bukankah Pakatan Harapan memiliki gabungan kepimpinan yang bukan kepalang hebatnya,” katanya lagi.

“Ada masa dan ketika pemimpin perlu menjadi pendengar yang baik. Meneliti setiap pandangan akar umbi untuk membuat keputusan terbaik,” ujarnya.

Ada kalanya, kata beliau lagi, pemimpin perlu berani menongkah arus untuk membuat keputusan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru