KUALA LUMPUR:  Seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff  telah memulakan inisiatif untuk menyediakan satu memorandum bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberi surat tunjuk sebab kepada DAP.

Pengarah Institut Kajian Politik UUM itu  juga mahu RoS meminta mengapa pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan dan seterusnya membatalkan pendaftaran DAP jika DAP gagal memberi representasi yang memuaskan kepadanya.

“Asas utama yang kami gunakan di dalam memorandum ini adalah bahawa banyak daripada aktiviti atau hal-ehwal DAP yang berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambil kira mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia dan mengenai kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, asas yang digunakan di dalam memorandum terbabit adalah selari dengan peruntukan Seksyen 2A (1) Akta (b) dan Seksyen 13 (1) (c) Akta Pertubuhan.

Menurut beliau, setakat ini sudah lebih 100 ahli akademik yang sedang berkhidmat di  beberapa universiti tempatan, termasuk 18 Profesor dan 24 Profesor Madya, yang bersetuju,  atas kapasiti peribadi mereka, untuk menjadi penandatangan kepada memorandum berkenaan.

Ahli-ahli akademik yang bersetuju untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini  adalah termasuk ahli-ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan.