Thursday, December 8, 2022

Pegawai polis ‘cari pendapatan sampingan’: Jangan guna alasan tak cerdik pertahan diri

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan polis terutama di peringkat daerah terpaksa mencari “pendapatan sampingan” bagi meraikan pihak atasan.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cawangan Khas mendapatkan maklumat berhubung perkara itu.

Beliau berkata, jika perkara seumpama itu benar-benar berlaku, maka ia satu perbuatan kurang cerdik.

“Jika mereka tidak mempunyai sumber kewangan, mereka boleh beritahu keadaan sebenar, jangan gunakan alasan tidak cerdik untuk pertahankan diri,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Kembara Media Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abd Wahab.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melaporkan amalan mencari “pendapatan sampingan” itu dilakukan kerana pegawai atasan meminta “tajaan” daripada mereka.

Pada sidang media kemudian, Zahid berkata, dakwaan amalan rasuah dalam kalangan segelintir anggota polis perlu dibanteras bagi memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM.

Timbalan perdana menteri berkata, beliau juga akan berbincang dengan kementerian lain bagi membersihkan agensi penguatkuasaan daripada amalan rasuah.

“Kepercayaan rakyat harus dikembalikan terhadap agensi-agensi penguatkuasaan… nila setitik dua yang merosakkan susu sebelanga ini perlu dihapuskan,” tegasnya.

Menggunakan analogi penyakit diabetes, Zahid berkata, lazimnya anggota badan yang terjejas dengan penyakit itu akan dipotong bagi mengelakkan ia merebak ke anggota badan lain.

“Mungkin itulah kaedah terbaik yang boleh dilakukan KDN dan lain-lain kementerian serta jabatan yang mempunyai agensi penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, 84 pengamal media membabitkan 21 kenderaan menyertai program mencari harta karun Kembara Media KDN itu yang bertujuan memperkenalkan dasar, fungsi dan peranan kementerian kepada orang ramai, selain mengeratkan hubungan dengan pihak media.

Program julung kali diadakan itu melibatkan peserta daripada pelbagai organisasi media antaranya Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama News Channel, Media Prima, Astro Awani, Malay Mail, The Sun, Sinar Harian, The Star dan Utusan Malaysia.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru