RIYADH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan lebih 50 pemimpin negara majoriti Islam menghadiri majlis perasmian Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis di sini, malam Ahad (Isnin di Malaysia).

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Trump merasmikan pusat berkenaan yang bertujuan menangani penyebaran ideologi ekstremis di alam maya di Mu’tamarat Nasiriyah di sini.

Pusat berkenaan juga bagi menentang dan mencegah penyebaran ideologi ekstremis dengan menggalakkan kesederhanaan, belas kasihan dan menyokong penyebaran agenda positif.

Terdahulu, kersemua pemimpin berkenaan menghadiri Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab-Islam-Amerika Syarikat di Pusat Konvensyen Raja Abdulaziz di sini.

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed sempena Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat di Pusat Konvensyen Raja Abdulaziz

Di luar sidang kemuncak itu, Najib turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari Bangladesh, Sheikh Hassina di pusat konvensyen berkenaan, malam Ahad.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin itu membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa.

Hadir sama, Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib mengakhiri hari kedua lawatan kerja tiga hari ke Arab Saudi dengan menghadiri Forum TWEEPS 2017 di sebuah hotel di sini di, malam Ahad.

Forum tersebut memberi tumpuan kepada bagaimana orang ramai boleh menggunakan rangkaian media sosial untuk kebaikan sosial serta menangani ekstremisme dan keganasan. Bernama