KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Sri Wong Soon Koh sebentar tadi mengesahkan bahawa parti itu telah mengemukakan beberapa nama untuk dipertimbang sebagai calon Pilihan Raya Kecil Dun Pujut.

Katanya, senarai nama tersebut telah diserahkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk pertimbangan akhir beliau.

“Selebihnya saya serahkan kepada keputusan Ketua Menteri.

“Bagi pihak kita (UPP), kita telah bersiap sedia untuk pilihan raya ini,” katanya yang enggan mengulas lanjut nama calon.

Malah Soon Koh dengan senyum merahsiakan identiti mereka yang disenaraikan.

Perkara yang sama dilakukan oleh Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian.

Katanya, pihaknya juga telah menyenaraikan beberapa nama dan telah menyerahkannya kepada Ketua Menteri untuk pertimbangan.

Kerusi tersebut kosong berikutan pelucutan kelayakan penyandangnya, Dr Ting Tiong Choon setelah usul dwikerakyatan yang dikemukakan oleh Soon Koh terhadapnya pada 12 Mei lalu.

Akibat usul kementerian itu, Tiong Choon dilucutkan keahlian Dewan Undangan Negeri menerusi undian 70-10.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan 20 Jun depan sebagai tarikh penamaan calon, diikuti 4 Julai sebagai tarikh pembuangan undi, tanpa undi awal.

Dun Pujut mempunyai 26,202 pemilih berdaftar, dengan 68 peratus merupakan pemilih Cina.

Pada 7 Mei tahun lalu, Tiong Choon yang mewakili Parti Tindakan Demokratik (Dap) memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,759 undi.

Kali terakhir BN memenangi kerusi berkenaan adalah pada Pilihan Raya Negeri ke-10 menerusi Andy Chia daripada SUPP.

Kerusi majoriti Cina menjadi rebutan SUPP-UPP sejak penubuhan parti serpihan itu pada tahun 2014.

Namun sehingga kini, UPP tidak diterima sebagai parti komponen BN dan calonnya hanya dibenarkan bertanding atas tiket calon langsung BN. – Sarawakvoice