Tuesday, June 28, 2022

Tiga pekerja Indonesia sempat loloskan diri daripada jadi mangsa api di Miri

Secara Rawak

MIRI: Tiga pekerja Indonesia terselamat selepas berjaya meloloskan diri ketika rumah pekerja ladang yang didiami mereka musnah dijilat api awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan berhubung tragedi di Sungai Keladan, Batu 12 itu sekitar jam 3.03 pagi.

“Sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri, sebelum tiba 13 minit kemudian.

Katanya, berdasarkan maklumat komander operasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat, yang merupakan rumah pekerja ladang kelapa sawit berstruktur tidak kekal, dengan keluasan 30 kaki x 30 kaki.

“Keseluruhan rumah ini telah terbakar manakala penghuninya yang dikenal pasti sebagai Rinto, Sarbani dan Arwin sempat meloloskan diri.

Kata Ling Hii, pasukannya melakukan pemadaman dengan membentangkan hos satu aliran 200 kaki dan dua nozel, manakala sumber air diperoleh daripada jentera.

“Api berjaya dipadam sepenuhnya selepas sejam setengah,” tambahnya lagi.

Kata Ling Hii, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kejadian masih diselidiki pasukan forensik. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru