Pelabuhan perikanan bersepadu Tanjung Manis tunjuk prestasi positif – Uggah

0
5
Foto James Joshua‎

TANJUNG MANIS: Pelabuhan Perikanan Bersepadu Tanjung Manis menunjukkan prestasi yang amat positif berikutan penambahan pendaratan jumlah ikan laut dalam di pelabuhan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah pendaratan ikan pada tahun lepas adalah 19,000 tan berbanding 12,000 tan pada 2015 manakala setakat Mac tahun ini, jumlahnya adalah 650 tan.

“Ini perkembangan yg positif kerana kadar pendaratan 100 peratus hampir kita capai dan ini adalah

hasil kerjasama semua pihak seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Laut, Jabatan

Perikanan Laut Sarawak, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Foto James Joshua‎

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan isu perikanan laut dalam Tanjung Manis di Pelabuhan Perikanan Bersepadu Tanjung Manis di sini semalam.

Menurut beliau, melalui pendarat tersebut, pelabuhan itu telah memperoleh hasil pendapatan sebanyak RM1 juta pada tahun lalu dan hampir RM1 juta sehingga April bagi tahun ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah. berkata, sehingga Februari tahun ini 65 daripada 82 kapal ikan laut dalam yang mempunyai permit telah membuat pendaratan ikan di pelabuhan tersebut.

Ia menunjukkan kebanyakan kapal mematuhi syarat permit yang ditetapkan iaitu melakukan pendaratan sekurang-kurangnya sekali sebulan di pelabuhan itu.

Kapal-kapal juga boleh melakukan pemunggahan ikan untuk dieksport dan dengan itu kerajaan negeri dapat mengetahui jumlah ikan yang ditangkap dan dieksport keluar dari negeri ini.

Uggah berkata, beliau akan memberikan taklimat kepada Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengenai penambahbaikan yang telah dilaksanakan di pelabuhan bersepadu yang dirancang menjadi pelabuhan perikanan termaju di Sarawak itu.

Prestasi yang baik itu akan menentukan pertimbangan untuk kelulusan permohonan permit bagi penangkapan ikan laut dalam di Sarawak.

“Ini kerana kelulusan untuk permit yang dibuat oleh kerajaan persekutuan itu perlu melalui pengesahan dari kerajaan negeri terlebih dahulu. Ini adalah kerana arwah Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) mahukan perkara ini (pendaratan di pelabuhan bersepadu Tanjung Manis) diselesaikan sebelum permit eksport ikan dikeluarkan kepada syarikat-syarikat perikanan,” katanya.

Pada masa ini, terdapat dua syarikat yang masing-masing memohon 10 permit menangkap ikan laut dalam manakala 65 permit lapan syarikat perikanan telah digantung sehingga kini.

“Pemberian semula permit kepada lapan syarikat itu akan bergantung kepada pertimbangan dan pengesahan daripada Ketua Menteri,” katanya. Bernama