Saturday, December 3, 2022

NAMES kesan 165 mahu kahwin, sudah kahwin secara adat

Secara Rawak

KUCHING: Dengan adanya sistem Native Marriage Electronic System (NAMES) tidak mudah individu bukan Islam yang sudah beristeri atau bersuami mendaftarkan perkahwinan kedua mereka.

Sistem NAMES yang sudah wujud semenjak 2010 menyelaras perkongsian maklumat antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS).

Melalui NAMES rekod perkahwinan pertama dan melalui adat dengan MAIS boleh disemak dengan mudah oleh pihak JPN.

Sistem ini menjadi alternatif mengelak berlakunya kes penaniayaan terhadap wanita bukan Islam apabila suami mereka cuba berkahwin lain melalui perkahwinan civil atau sebaliknya.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Fatimah Abdullah mendedahkan sekitar 165 penduduk negeri ini yang masih isteri atau suami orang dikesan cuba mendaftar perkahwinan kedua mereka dengan JPN setakat empat bulan pertama 2017.

Perbuatan cubaan berkahwin lebih dari seorang isteri atau suami terbabit tidak dibenarkan di bawah undang-undang civil yang didaftarkan dengan JPN dan Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS).

Fatimah bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas Sesi Perbincangan Meja Bulat: Isu Perkahwinan dan Penyelenggaraan Nafkah Penceraian (Bumiputera Bukan Islam) di Baitulmakmur, Petra Jaya pada Isnin.

Menurut beliau permohonan perkahwinan individu terbabit ditolak bagi mengelak pelakuan aniaya terhadap pasangan masing-masing yang merahsiakan perkahwinan awalnya.

Bagi beliau, kes akan timbul kemudian hari apabila berlaku kematian suami yang berkahwin lebih daripada seorang isteri dengan isteri kedua sukar mendapat pembahagian harta secara adil berbanding isteri pertama.

Fatimah mendedahkan dalam tempoh empat bulan 2017, seramai 3,530 individu bukan Islam yang hendak berkahwin disemak nama mereka melalui NAMES.

Daripada jumlah tersebut, 165 individu didapati sudah pernah berkahwin secara perkahwinan adat.

Pada sidang media itu, Fatimah menyarankan Mahkamah Bumiputera di bawah MAIS dinaik taraf seperti Mahkamah Civil dan Mahkamah Syariah, bagi meningkatkan bidang kuasanya dalam hal perkahwinan, penceraian dan sebagainya.

Fatimah turut menghebahkan bahawa sekretariat bakal ditubuhkan bagi menyeragam undang-undang berkaitan had umur perkahwinan dan pemberian nafkah kepada isteri diceraikan bagi bukan Islam. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru