Tuesday, June 28, 2022

Kerjasama Pas-Umno kini, petanda politik matang, tidak berkelahi — Hadi

Secara Rawak

MARANG: Kehadiran Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Khamis disifatkan beliau sebagai permulaan kepada politik matang antara Pas-Barisan Nasional (BN).

Hadi hadir sebagai jemputan sempena Majlis Pelancaran Tukun Rig To Reef (R2R) dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Petronas di Marang Waterfront.

Bernama melaporkan, Ahli Parlimen Marang turut berterima kasih kepada Shabery, “terima kasih kerana beri peluang saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.”

Tambah Hadi lagi, “kerjasama hari ini (Pas-Umno) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama.

“Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan kerangka pelantar minyak Petronas yang dileraikan di Pulau Kapas, Hadi mengandaikan kerjasama Umno-Pas menimbulkan persepsi negatif pihak tertentu.

Bagaimanapun, kata beliau, akar umbi akan faham hal ini.

Beliau menambah, “Insya-Allah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik.

“Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori,” menurut hadi.

Sebelum itu, Hadi dan Shabery meluangkan masa sekitar sejam bersarapan bersama masyarakat nelayan di Marang sebelum berlepas ke Pulau Kapas 10 pagi menyaksikan pelepasan tukun dan meninjau program kajian biodiversiti spesies ikan di kawasan tukun tiruan.

Ketibaan Hadi disambut Shabery yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Peladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehemi Yusoff serta Naib Presiden (Pengurusan Petroleum) Petronas.

Sementara, Shabery dalam kenyataannya seperti dilaporkan Sinar Harian pada Jumaat, mendedahkan rahsia pengalaman kali pertama menjadi ‘pelaut’ bersama Hadi yang disifatkannya sebagai nelayan tulen.

Beliau menceritakan semula pengalamannya ketika berucap pada majlis pelancaran R2R.

Menurutnya, Hadi juga tidak melihat laut dan ikan sekadar hobi, beliau mengetahui banyak hal misalnya apa itu pukat, apa musimnya, ikan apa yang baik pada waktu tertentu.

Selain itu, Hadi tahu bagaimana mahu menjala di air paras lutut, air di paras pinggang dan tidak banyak orang boleh menjala kalau air di paras dada.

Shabery berkata Tuan Guru mengetahui bagaimana untuk melangkah air, melangkah ombak, melangkah arus, bagaimana ada waktu tidak boleh menggunakan kekuatan tangan, tetapi menggunakan kekuatan dada dan badan.

“Pada hari ini sedikit ingatan 30 tahun dulu akan dapat saya kembalikan. Terima Kasih Tuan Guru kerana dapat bersama kita sekali lagi pada hari ini,” ujar Shabery. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru