KUCHING: Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang ejen warga Indonesia berjaya ditahan Rejimen Ke- 4 Kor Armor Diraja (4 KAD) semalam kerana cuba memasuki sempadan negeri ini tanpa dokumen yang sah.

Menurut Pegawai Memerintah 4 KAD, Leftenan Kolonel Mohd Nizam Masri, penahanan dilakukan sekitar jam 10 malam, ketika pasukannya sedang melaksanakan Op Awas.

“Kumpulan PATI ini dari datang dari arah Jagoi Babang dan cuba memasuki sempadan negara melalui pos sekatan jalan raya di KTJ Serikin.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, pihak tentera pantas menghubungi pegawai imigresen Serikin dan memaklumkan perkara tesebut.

“Maklumat awal mendapati kesemua PATI ini berasal dari Jawa Tengah dan telah menaiki pesawat ke Pontianak.

“Mereka bercadang menggunakan laluan darat bagi memasuki sempadan dengan dibantu oleh seorang ejen yang juga warganegara Indonesia.

Salah seorang PATI memaklumkan, tujuan mereka memasuki Malaysia adalah untuk berniaga di Serikin.

“Mereka perlu membayar kepada ejen berkenaan sebanyak 1 Juta Rupiah jika berjaya mendapat pekerjaan di Sarawak,” katanya lagi.

Kesemua tahanan telah diserahkan kepada pihak imigresen Sarawak untuk tindakan lanjut. – Sarawakvoice