Enam pengganas Daesh dicekup, seorang lepas ke selatan Thailand — Ketua Polis Negara

0
7

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia kini memberi tumpuan memburu seorang lelaki, setelah berjaya memberkas enam individu lain yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganas Daesh di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tangkapan pertama melibatkan dua suspek lelaki yang berusia 26 dan 41 tahun di Kelantan pada 24 dan 25 Mac lalu.

“Mereka dipercayai bersubahat dalam aktiviti penyeludupan senjata api dari Selatan Thailand untuk kegunaan anggota Daesh di negara ini.

Katanya, tangkapan kedua dicatatkan pada 4 April lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, membabitkan seorang wanita berusia 26 tahun.

“Suspek merupakan pelajar jurusan makmal perubatan di sebuah kolej awam di Lembah Kelang dan telah berlepas ke Turki pada 29 Ogos lalu untuk menyertai perjuangan Daesh.

Kata Khalid, pada 5 Februari, suspek telah ditahan pihak berkuasa Turki ketika menunggu masa untuk menyusup masuk ke Syria.

Pada 20 April lalu, dua lagi suspek berjaya dijerat di Melaka dan Johor.

Suspek pertama merupakan seorang lelaki berusia 41 tahun, seorang penganggur yang pernah berpengalaman berjuang di Syria.

“Suspek kedua merupakan seorang wanita berusia 32 tahun yang bertugas sebagai pembantu jurutera kilang, yang dikesan mempromosi perjuangan Daesh melalui perisian Google Plus.

Suspek terakhir, seorang lelaki ditangkap di Pulau Pinang pada 25 April.

Lelaki berusia 41 ini seorang penganggur dan aktif mempromosikan perjuangan Daesh melalui 15 akaun facebooknya sejak 2014.

Suspek juga merancang serangan di Masjid Syiah di sekitar Pulau Pinang.

Keenam-enam mereka ditahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langlah-langkah khas) 2012 (Akta 747).

Suspek yang sedang diburu merupakan rakan dua penyeludup senjata api yang ditahan di Kelantan.

Kata Khalid, suspek dipercayai menyusup ke Selatan Thailand melalui Sungai Golok pada 22 Mac bersama-sama dua pucuk senjata api jenis M4 Carbine dan pistol.

Identiti suspek yang diangkat menjadi “orang dikehendaki” dikenal pasti sebagai Muhammad Muzaffa Junaidi, 27 tahun dari Kampung Gertak, Rantau Panjang. – Sarawakvoice