Tuesday, June 28, 2022

Bendera Sarawak berkibar di Annapurna, wartawan dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak bukti kemampuan

Secara Rawak

NEPAL: Seramai 62 pendaki Malaysia yang turut dianggotai oleh pihak media dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya dalam ekspedisi Cabaran Annapurna Base Camp (ABC) pada 30 April lalu.

Nama mereka bakal terpahat dalam Malaysia Book of Records sebagai kumpulan pendaki teramai ke ABC pada ketinggian 4,130 meter dari paras laut.

Mereka kemudian mengibarkan Jalur Gemilang gergasi setinggi enam meter dan lebar 12 meter seberat 11 kilogram sebagai kejayaan penaklukan tersebut.

Turut serta, seorang wartawan yang berasal dari Sarawak, Linda Khoo dari Bernama dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohamad.

Ekspedisi bermula 24 April lalu dengan mereka memulakan pendakian dari Siwai sejauh 41.34 kilometer.

Dalam pendakian ini, mereka diuji pelbagai cabaran termasuk cuaca tidak menentu dan salji tebal pada suhu yang mencecah -5 Celsius ketika tiba di ABC pada 30 April.

Ketua Ekspedisi, Fazli Ahmad berkata, pendakian ke ABC di Banjaran Himalaya itu bukan ekspedisi biasa sebaliknya adalah yang terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah, kesemua 62 peserta termasuk 18 wanita berjaya menamatkan pendakian ke ABC.

“Ia bukan sesuatu yang mudah dan persiapan fizikal dan mental sudah dilakukan beberapa bulan lalu.

“Peserta pertama tiba di ABC pada jam 11.30 pagi (waktu Nepal) manakala peserta terakhir 2.30 petang,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru