WASHINGTON, Amerika Syarikat: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam berkata, beliau amat berbangga jika dapat bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada waktu yang sesuai.

Trump memberitahu Bloomberg semalam, jika kesempatan itu wujud, beliau amat menghargainya kerana beliau beranggapan Kim sebagai anak muda yang bijak.

Kenyataan itu agak mengejutkan kerana ia hadir ketika tekanan sedang menggelegak berikutan program nuklear Korea Utara.

Dalam kenyataan balas yang pantas, Rumah Putih berkata, Korea Utara perlu melepasi pelbagai tapisan sebelum pertemuan tersebut menjadi kenyataan.

Jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer menegaskan, Washington mahu negara blok komunis itu menamatkan provokasinya serta-merta.

Imej Youtube

“Situasinya amat jelas tidak membenarkan perkara ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, dalam wawancaranya dengan CBS sebelum itu, Trump mengakui kekagumannya akan Kim yang berada di puncak kuasa pada usia muda, di sebalik
berurusan dengan beberapa individu sukar.

“Saya tidak tahu sama ada beliau waras! Tetapi pemimpin muda itu menyebabkan bapa saudaranya dihukum mati dua tahun selepas beliau berkuasa dan pada masa yang sama, menjadi saspek yang mengarahkan pembunuhan abangnya di Kuala Lumpur.

“Pada usia semua muda itu, beliau mampu untuk melaksanakan kuasa. Banyak orang, saya pasti cuba untuk merampas kuasanya, baik bapa saudaranya mahupun orang lain.

Sabtu lalu, Korea Utara sekali lagi melaksanakan ujian peluru berpandu balistik keduanya dalam tempoh dua minggu.

Tekanan meningkat di rantau itu apabila kedua-dua negara — Utara dan Selatan — mula meningkatkan latihan ketenteraan.

Malah Amerika Syarikat mula memghantar kapal-kapal perangnya ke wilayah ini selain memasang sistem antipeluru berpandu di Korea Selatan, minggu lalu.

Pada Ahad, agensi berita Pyongyang, KCNA menggesa Amerika Syarikat untuk tidak mewujudkan persekitaran yang menekan dengan melakukan provokasi ketenteraan yang bodoh.

Korea Utara katanya, telah berulang kali menjalankan ujian peluru berpandu dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini dan mengancam untuk menjalankan ujian nuklear keenam.

Presiden Trump memberitahu CBS, Amerika Syarikat “tersangat tidak gembira” jika ujian tersebut dijalankan.

Apabila ditanya sama ada ini bermakna tindakan ketenteraan akan diambil, beliau berkata: “Saya tidak tahu. Maksud saya, kita akan lihat..” – Sarawakvoice