PYONGYANG: Tindakan Amerika Syarikat yang dilapor menghantar dua pesawat pengebom supersoniknya ke Korea Selatan membuat Korea Utara geram dan sakit hati.

Pihak berkuasa Korea Utara berkata tindakan itu mendorong ketegangan di Semenanjung Korea berubah menjadi perang nuklear.

Dua pesawat supersonik B-1B Lancer dihantar ke Semenanjung Korea turut serta dalam latihan bersama-sama Angkatan Udara Korea Selatan.

Foto U.S. Air Forces Central Command

Menurut Time pada Selasa, jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Moon Sang-gyun mengatakan latihan tersebut diadakan bertujuan menyahut provokasi dari ujian perluru berpandu dan senjata nuklear yang dijalankan oleh Korea Utara.

Mereka mengatakan, dua pesawat pengebom diterbangkan dari Guam untuk bergabung menyertai latihan tentera bersama-sama Australia, Jepun dan Korea Selatan.

Media Korea Utara, KCNA melaporkan, kurang sehari selepas AS mengakhiri latihan perang Key Resolve dan Foal Eagle, pesawat pengebom B-1B dihantar secara rahsia ke wilayah Korea Selatan untuk menjalani latihan senjata nuklear.

KCNA mendakwa, provokasi tentera di Semenanjung Korea merealisasikan perang nuklear. – Sarawakvoice