Pas tak gusar hadapi PRU-14

0
3

ALOR SETAR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  mengakui tidak gusar berdepan pilihan raya umum (PRU) akan datang selepas kerjasama dengan PKR diputuskan.

Sebagai parti yang mempunyai banyak pengalaman, katanya, Pas sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku menjelang PRU14.

“Kita pernah menghadapi pelbagai kemungkinan kerana sejarah politik senario kita panjang, lebih daripada orang lain.

“Kita pernah bersendirian, kita pernah tinggal satu kerusi dan tak ada kerusi langsung. Dua atau tiga penjuru, pengalaman kita banyak,” katanya.

Pas  dalam Muktamar ke-63 bersetuju menerima usul untuk memutuskan kerjasama dengan PKR, namun keputusan itu hanya akan dimuktamadkan oleh badan tertinggi, Majlis Syura.

PKR sepanjang tempoh tahaluf siyasi itu dikatakan banyak melanggar syarat, termasuk menyokong calon Amanah menentang Pas  pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, yang penting ialah semua ahli di negeri dan kawasan patuh kepada kepemimpinan pusat.

Abdul Hadi berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan dan sedia bekerjasama dalam perkara yang baik.

“Soal kebajikan kita teruskan kerjasama, tetapi dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam, kita bangkang dan kita tentang. Itu pendirian kita yang terbuka,” katanya kepada media di sini semalam.

Parti Islam itu sebelum ini menyatakan hasratnya untuk bertanding di 80 kerusi dan memberi amaran kepada parti pembangkang lain supaya tidak bertanding di kawasan terbabit. – Sarawakvoice