KABONG: Helang Biru Saratok terbang tinggi sambil membawa piala kejuaraan Pertandingan Tarik Tali Pesta Beras Wangi Lubok Nibong ke Saratok petang kelmarin.

Helang Biru tampil luar biasa ketika menepis bisa tusukan Duri-Duri Sawit di aksi final yang akhirnya menobatkan mereka sebagai juara baharu dalam acara berkenaan.

Selain memenangi piala kejuaraan, wang tunai RM1000 serta medal , kemenangan Helang Biru sekali gus mencetak rekod tersendiri sebagai pemecah tradisi kejohanan acara tersebut yang sebelum ini gelaran juara dimonopoli oleh pasukan dari Kabong.

JUARA BAHARU…Helang Biru Saratok

Berlangsung sebagai acara kemuncak pesta, sang juara muncul di khalayak untuk bertarung dengan jersi warna biru manakala pasukan Duri-Duri Sawit tampil dengan jersi merah menyala.

Dengan disaksikan kira-kira 500 penonton sang Helang Biru mencengkam lawan sebaik wisel permulaan dan seterusnya memenangi pertandingan dengan keputusan 2-0.

Duri-Duri Sawit terpaksa akur akan kekuatan lawan dan muncul sebagai naib juara dengan habuan RM800 juga beserta piala dan medal.

Dalam pada itu dalam pertarungan sebelumnya, dilangsungkan penentuan untuk tempat ketiga dan keempat yang menemukan pasukan Kubena PNK Kabong menentang pasukan Dark Rider Kabong.

Pasukan Kubena muncul pemenang tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM600, piala dan medal. Manakala pasukan Dark Rider menduduki tempat keempat dengan menerima hadiah wang tunai RM400 beserta medal.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Wakil Pegawai Daerah Kabong, Awangku Safaiee Awang Shebli. – Sarawakvoice

NAIB JUARA…Duri-Duri Sawit Kabong
TERUJA….Lebih 500 penonton meriahkan acara final