Tuesday, June 28, 2022

Tangguk di air keruh, Israel nafi serang Damsyik!

Secara Rawak

DAMSYIK: Letupan besar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik awal Khamis lepas dipercayai berpunca daripada serangan udara Israel, lapor stesen televisyen al-Manar yang menyokong tentera Hizbullah di Lubnan.

Bagaimanapun, jurucakap kanan Israel berkata, “kami tidak boleh mengulas laporan ini,” ketika ditanya sama ada Tel Aviv melancarkan serangan ke atas lapangan terbang di Damsyik.

Sumber kumpulan penentang berkata, lima serangan mengenai depot simpanan senjata Syiah sokongan Iran.

Menurut al-Manar, letupan besar itu memusnahkan bangunan dan tiada kematian dilaporkan.

Presiden Bashar al-Assad disokong oleh Rusia, Iran dan tentera Syiah termasuk pergerakan Hizbullah yang merupakan musuh ketat Israel dalam perang saudara di Syria.

Beberapa pegawai Israel sebelum ini dipetik sebagai berkata, Tel Aviv tidak berkompromi jika senjata canggih dibekalkan kepada Hizbullah di Syria.

Israel pernah melancarkan serangan udara atau bedilan meriam bagi memusnahkan senjata Hizbullah pada masa lalu.

Reuters dan AFP turut melaporkan, media pro-Bashar dan Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain melaporkan berlaku letupan besar tersebut dan mengejutkan penduduk sedang tidur.

CNN pada Jumaat lepas melaporkan tentera Israel mengaku menembak “satu sasaran” di Bukit Golan, tetapi tidak mahu mengaitkan dengan dua insiden letupan besar berkenaan.

Israel melancarkan beberapa serangan udara di Syria sejak perang saudara negara itu meletus pada 2011, kebanyakannya menyasar konvoi senjata atau gudang musuh ketatnya Hizbullah, penyokong utama rejim Syria.

Menteri Perisikan Israel, Yisrael Katz, berkata ia konsisten dengan dasar kerajaan menghalang pemindahan senjata kepada Hizbullah, tetapi tidak mahu mengesahkan negaranya bertanggungjawab dengan serangan berkenaan.

Para sumber pemberontak menyebut serangan mengakibatkan kebakaran.

Menurut mereka, apinya berasal dari kawasan tentera yang digunakan oleh Tehran untuk membekal senjata kepada tentera Syria. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru