ALOR SETAR: Presiden Parti Amanah Rakyat (Amanah) Mohamad Sabu mengucapkan takziah kepada mangsa yang tercedera dalam kejadian bencana ribut melanda tapak Muktamar Tahunan Pas di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Memetik Malaysia Dateline pada Ahad, Mohamad mendoakan “semoga Allah memberi ketenangan kepada kita semua. Kepada Allah jua tempat kita berlindung.”

Beliau berdoa semoga ahli Pas yang menghadiri muktamar tahunan parti itu terhindar daripada bahaya akibat bencana ribut yang melanda pada lewat petang Sabtu.

Mantan Timbalan Presiden Pas itu turut mendoakan mereka yang mengalami kecederaan agar pulih dan kembali sihat.

Amanah Kedah turut merakamkan simpati dan takziah kepada seluruh pimpinan, perwakilan serta pemerhati Muktamar Pas ekoran kejadian ribut kencang yang melanda tapak muktamar.

“Didoakan agar muktamar dapat diteruskan seperti dijadualkan oleh panitia muktamar,” kata pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Menurut saksi, kejadian berlaku sekitar 7.30 malam ketika orang ramai bersiap-siap menunaikan solat Maghrib.

FMT pada Sabtu melaporkan sekitar 18 orang cedera dan lebih 30 khemah jualan dan pameran rosak.

Khemah utama yang digunakan Dewan Pemuda Pas runtuh.

Manakala, beberapa khemah peniaga juga rosak teruk dibadai ribut.

Setiausaha Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, beberapa orang termasuk kanak-kanak cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sumber menyebut, DAP Kedah turut menghantar ahli mereka membantu mangsa ribut di lokasi kejadian.

Sementara, Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus melalui tajuk “Doa Ketika Ribut Melanda” di Facebook beliau menyeru seluruh ahli mendoakan keselamatan termasuk mereka di muktamar Pas yang dilanda ribut pada petang Sabtu.

“Mereka adalah saudara kita. Bayangkan seolah-olah kita berada di sana, tanda kesungguhan kita mendoakan mereka.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebaikan angin ini dan kebaikan yang terdapat di dalamnya serta kebaikan dari tujuan dikirimkannya. Dan aku berlindung dari keburukan angin, keburukan yang terdapat di dalamnya serta keburukan dari tujuan dikirimnya angin tersebut. (Petikan dari Sohih Muslim)” nukil Hasanuddin di Facebook beliau pada 9.21 Sabtu malam.

Muktamar Pas berakhir hari ini dihadiri lebih 1,200 perwakilan dari seluruh negara. – Sarawakvoice