Tuesday, June 28, 2022

Penduduk kampung jadi kaya selepas sungai dilimpahi emas

Secara Rawak

SULAWESI: Kejadian banjir yang berlaku di Kampung Ulunggolaka, Kecamatan Latrambaga, Kolaka, Sulawesi Tenggara, Indonesia tiba-tiba membawa rahmat kepada penduduknya apabila sungai merentasi kampung berkenaan dipenuhi bijih emas.

Memetik Utara News pada 26 April lepas, penduduk kampung bernama Mardin mengaku awalnya lokasi emas tersebut hanya diketahui oleh penduduk setempat.

Namun, selepas empat hari penemuan emas tersebut, berita mula tersebar sehingga hadir ratusan orang dari daerah berdekatan mahu mendulang emas di kampung berkenaan.

Menurut Mardin dengan mendulang secara manual, dia sendiri mendapat sehingga 30 gram sekali mendulang.

Terdapat juga penduduk yang mendapat sehingga 40 gram sekali mendulang, menurut Mardin dan rezeki ini menjadikan mereka semua kaya-raya secara mendadak.

Bagaimanapun, terdapat juga penduduk yang pulang dengan hampa apabila tidak berjaya mendapat hasil logam berharga itu.

Tribunnews melaporkan 25 April lepas, awalnya penduduk kampung bernama Baba, seorang penebang pokok, buat pertama kali menemukan emas di daerah itu secara tidak sengaja.

Baba bercerita, ketika dia berehat dan selepas makan tengah hari, dia mencuci pinggan di sungai sambil beraksi seperti mendulang, secara tidak sengaja dia terkumpul bijih emas di dalam pinggan.

Menurut Baba, kemudian ada rakan lain mengikutnya mendulang sehingga berita tersebut tersebar di kalangan penduduk kampung dan warga berdekatan dari kampung lain.

Suara.com pada 25 April lepas melaporkan Ketua Desa Anwar bimbang dengan kehadiran begitu ramai orang di kawasan sungai berkenaan berkenaan untuk mendulang emas sehingga ada yang mendirikan khemah.

Beliau berasa perlunya kehadiran pihak berkuasa untuk mengawasi mereka mengelak berlaku sebarang perselisihan.

Penduduk bernama Ridwan ketika ditemui mengakui sudah dua hari cuba mendulang di sungai tersebut dengan membawa peralatan dan kemudahan secukupnya.

Dia mengharapkan penemuan serbuk emas di Ulunggolaka mampu mengubah rezekinya sekeluarga. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru