Monday, June 27, 2022

Menyelongkar keunikan spesies fauna Gunung Gading melalui perlumbaan katak

Secara Rawak

KUCHING: Selain spesies yang sinonim dengan Sarawak seperti orang utan dan rafflesia, beberapa spesies hidupan liar yang berpotensi untuk pembangunan ekopelancongan di Sarawak sewajarnya diterokai.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Berhad, Wong Ting Chung berkata, penerokaan ini penting kerana Sarawak turut memiliki kepelbagaian spesies seperti herpeto-species (cicak, ular dan katak) yang sememangnya amat berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan.

“Kerana itu saya tidak terkejut apabila penganjuran perlumbaan katak boleh menjadi acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri, selain menjadi contoh terbaik untuk kita membina pasaran untuk ekopelancongan,” katanya  sewaktu merasmikan Perlumbaan Katak Antarabangsa Borneo Keenam di Taman Negara Gunung Gading semalam.

Sementara itu, Pengarah Institut Pemuliharaan Alam Sekitar dan Biodiversiti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr. Gabriel Tonga Noweg berkata, perlumbaan katak ini mampu mendidik orang ramai akan keperluan untuk memulihara alam sekitar.

“Ia juga membantu mempromosikan acara ini sebagai aktiviti lapangan untuk pelancong dari dalam dan luar negeri.

“Ia juga menarik perhatian mereka terhadap ancaman pengekalan populasi katak di negeri ini.

Perlumbaan katak ini menarik perhatian lebih 200 peserta daripada 18 negara yang bertanding iaitu  Australia, Singapura, Korea dan India.

Ia dilangsungkan pada hujung minggu terakhir April setiap tahun, sempena Hari Menyelamatkan Katak Sedunia.

Acara ini juga tersenarai dalam kalendar Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan Tourism Malaysia dan dianjurkan oleh SFC dan Unimas.

Antara antiviti yang dilangsungkan sepanjang satu setengah hari  termasuklah bengkel, ceramah, pameran dan acara kemuncak ialah Perlumbaan Katak — dengan peserta bersaing untuk merebut hadiah dalam pelbagai kategori acara termasuk spesies amfibia paling banyak dirakam; foto amfibia yang asing; rakaman foto terbaik untuk kamera dslr,  kompak dan telefon bimbit.

Taman Negara Gunung Gading terkenal dengan bunga pakma terbesar di dunia.

Ramai pengunjung datang dari seluruh dunia untuk menyaksikan ia mengembang.

Tarikan lain taman negara ini termasuklah pemandangan hutan hujannya, air terjun dan denai yang membawa ke puncak Gunung Gading. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru