Monday, June 27, 2022

Datuk Wahab bawa khabar ‘wangi’ sempena Pesta Beras Wangi Lubok Nibong

Secara Rawak

KABONG: Pesta Beras Wangi Lubok Nibong membawa khabar gembira buat penduduk di Kawasan Lubok Nibong dan Perpat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz mengumumkan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi tujuan pembinaan jalan darat menghubungkan Kampung Perpat dengan jalan utama Sessang-Beting Maro.

Peruntukan berkenaan katanya disalurkan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan kerja pembinaan jalan darat itu akan bermula pada tahun ini juga.

RASMI…Wahab merasmikan Pesta Beras Wangi Lubok Nibong, Kabong

Pada masa kini kerja-kerja pembinaan jalan darat dari Kampung Beting Maro telah bermula dan jalan darat berkenaan akan melalui kawasan simpang masuk ke Kampung Perpat.

Apabila terbinanya jalan darat itu kelak kesemua laluan itu akan mengarah ke jalan raya utama Sessang-Kabong.

Selain itu Wahab turut mengumumkan peruntukan berupa geran kerajaan berjumlah RM50,000 bagi tujuan membina jambatan konkrit menggantikan jambatan kayu untuk laluan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Nibong.

Wahab menyatakan perkara berkenaan ketika merasmikan Pesta Beras Wangi Lubok Nibong- Perpat kelmarin.

Sambutan dengan persembahan tradisi Iban

Pesta berkenaan sebelum ini merupakan acara tahunan di sana, bagaimanapun sejak lebih lima tahun yang lalu pesta itu tidak diadakan kerana kekangan tertentu.

Wahab dalam ucapannya antara lain menyatakan pesta sedemikian dapat mempromosikan kawasan dan produk keluaran penduduk tempatan kepada masyarakat luar.

“Sebagai Pengerusi Pelancongan Sarawak saya berperanan untuk memperkenal produk pelancongan di negeri ini. Kawasan kita mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai produk pelancongan domestik dan juga untuk pelancong luar negara.

“Kehadiran pengunjug sudah pasti akan meningkatkan pendapatan penduduk dan menggalakan peningkatan ekonomi penduduk di kawasan terlibat,”ujarnya.

Wahab dan Chee rasmi pertandingan tarik tali

Lubok Nibong dan Perpat sememangnya cukup sinonim dan terkenal dengan pengeluaran beras wangi untuk kawasan itu.

Wahab juga berharap penduduk berbilang kaum akan terus mengekalkan perpaduan bagi menjamin keamanan yang berterusan dapat dinikmati.

“Saya harap penduduk akan terus berdiri teguh di belakang kerajaan bagi memastikan pembangunan akan dapat dibawa masuk dengan mudah.

“Terima kasih atas sokongan padu rakyat selama ini kepada kerajaan. Banyak perancangan yang dibuat kerajaan mengambil masa untuk dilaksana kerana terpaksa melalui proses tertentu.

“Apapun, terima atas kesabaran rakyat yang sangat hebat dalam banyak perkara dalam tempoh menunggu pelaksanaan projek kerajaan. Kesabaran penduduk menjadi inspirasi untuk saya terus berusaha membantu rakyat,” katanya.

Hadir sama ADUN N.40 Kabong, Mohd Chee Kadir, Pegawai Daerah Kabong, Kamaluddin Haji Alkap, Pemangku Residen Bahagian Betong, Friday Belik , dan Guru Besar SK. Lubok Nibong , Mohamad Kameri. – Sarawakvoice

MERIAH….pesta berlangsung meriah
JANJI PERKHIDMATAN TERBAIK……..Wahab N.38 Kalaka, beganding tenaga dengan Chee, N.40 Kabong.
MESRA…..Wahab dan Chee berkenal mesra dengan penduduk…..

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru