PYONGYANG: Sekali lagi Korea Utara dilaporkan kembali melakukan ujian peluru berpandu pada Sabtu!

Dan sekali lagi tentera Korea Selatan mengadu bahawa ujian tersebut gagal lagi.

Agensi Berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan, ujian pelancaran peluru berpandu tersebut dijalankan di utara Pyongyang.

Metro melaporkan Sabtu, hari ini, jurucakap tentera Korea Selatan berkata Korea Utara menembak peluru berpandu dari lokasi di sekitar Bukchang di Pyeongannam-do (wilayah selatan) pada dinihari.

Ironisnya, sekali lagi, pelancaran peluru berpandu tersebut dilancarkan hanya beberapa saat selepas Menteri Luar AS, Rex Tillerson mengatakan Korea Utara mesti dikenakan sekatan lebih keras.

Bercakap kepada Dewan Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Tillerson mendesak AS menguasai keadaan dan mengambil alih situasi yang dilihat sengit sekarang di Semenanjung Korea.

Russian Today pada Sabtu melaporkan Tillerson mengancam mengenakan sekatan tambahan atau menghentikan pertemuan diplomatik jika Korea Utara tidak memberhentikan cita-citanya membangun program senjata nuklearnya.

Tillerson berkata, sudah terlalu lama masyarakat antarabangsa berlembut dengan Pyongyang.

Tillerson mengkritik sikap pemimpin tertinggi Korea Utara diktator Kim Jong-un yang sanggup menghabiskan sejumlah dana yang besar bagi memenuhi cita-cita menguasai nuklear sepanjang 20 tahun ini.

Pada masa yang sama, Jong-un sanggup membiarkan rakyatnya menderita kelaparan! – Sarawakvoice