Awas ahli Grup Whatsapp, Wechat, Telegram: Anda turut disiasat

0
22

CYBERJAYA: Siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat aduan  terhadap  kandungan yang disebarkan  dalam mana-mana kumpulan aplikasi pesanan seperti ‘WhatsApp’, ‘Wechat’, ‘Viber’ dan ‘Telegram’  tersebut,  kata  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM dalam kenyataan berkata, perbualan dalam mana-mana kumpulan tersebut  adalah bersifat persendirian namun adalah menjadi kesalahan bagi seseorang untuk menggunakan perkhidmatan aplikasi tersebut bagi membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan dan cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Suruhanjaya itu berkata, siasatan tidak akan membezakan antara pentadbir dan anggota kumpulan.

Justeru,  pentadbir aplikasi atau anggota kumpulan diingatkan agar berwaspada dalam menyebarkan maklumat dalam kumpulan masing-masing supaya tidak terjadi kes penyebaran maklumat palsu.

“Jika pentadbir atau mana-mana anggota kumpulan didapati menyebarkan maklumat palsu, maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka,” kata kenyataan itu hari ini.

​​​Penyebaran maklumat palsu merupakan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari sebelum ini dilaporkan berkata pentadbir atau admin kumpulan WhatsApp akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal mengawal anggotanya daripada menyebarkan maklumat palsu.

Menurut SKMM, berdasarkan fakta, bukti dan perlakuan, seorang pentadbir aplikasi mungkin dipertanggungjawabkan dalam beberapa keadaan.

Antaranya apabila pentadbir sendiri membuat komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998, katanya.

Pentadbir juga mungkin dipertanggungjawabkan apabila meminta komen daripada yang lain walaupun sendiri tidak melakukannya, dan pentadbir membantu, melalui hasutan, mana-mana orang lain dalam kumpulan untuk membuat komen serta pentadbir menghalang siasatan agensi penguatkuasa terhadap komen.

SKMM berkata, ia akan mempertimbangkan keperluan mengadakan garis panduan tentang penggunaan aplikasi pesanan.

“Pada masa yang sama, orang ramai digesa untuk sentiasa berhemah dalam penggunaan media sosial demi perlindungan mereka sendiri,” katanya. – Bernama