Tuesday, September 27, 2022

Maklumat awam bantu SFC rampas kembali dua kes balak curi

Secara Rawak

KUCHING: Hasil maklumat awam telah membantu pasukan penguat kuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk terus berjaya mengekang aktiviti pembalakan haram di negeri ini baru-baru ini.

Menurut kenyataan pejabat tersebut, kejayaan pertama diperoleh hasil maklumat orang awam di Kapit pada Jumaat lepas.

“Pegawai penguat kuasa kami daripada OSCC Balleh telah berjaya mematahkan cubaan untuk menyeludup keluar 50 batang balak pelbagai saiz dan spesies yang telah diikat bersama-sama menjadi rakit di Sungai Sebenuang, Balleh.

“Apabila dijumpai, ‘rakit’ kayu balak ini tidak bertanda dan tidak diselia; dipercayai telah ditebang daripada kawasan hutan berhampiran.

Kata kenyataan itu lagi, kayu-kayu balak ini dianggarkan berjumlah 110.3 meter padu (m3).

Dalam kes kedua pula, pasukan penguat kuasa daripada OSCC Sarikei telah menyerbu sebuah lokasi di tepi jalan berhampiran Kuala Rejang, Sarikei pada Sabtu.

Serbuan dilakukan setelah menerima maklumat berkaitan kecurian bakau yang disyaki berlaku di lokasi tersebut.

“Ia kemudian menemukan 309 batang kayu bakau yang telah disusun dalam beberapa longgokan.

“Kesemua kayu bakau tersebut tidak mempunyai tanda rasmi dan kemudiannya ditahan setelah disahkan tiada lesen pembalakan diluluskan di kawasan tersebut.

Kedua-dua kes telah dilaporkan di balai polis berdekatan dan kes telah diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan susulan dan tujuan pelupusan.

Sebanyak 48 OSCC telah ditubuhkan di seluruh Sarawak untuk membolehkan kumpulan penguat kuasa berada di lokasi sedekat mungkin dengan tapak pembalakan di kawasan hutan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru