Tuesday, June 28, 2022

China tidak benarkan ibu bapa beri nama Islam

Secara Rawak

XINJIANG: Kerajaan komunis China mengharamkan nama Islam diberikan kepada anak-anak yang baru, kerana disifatkan sebagai ekstrem dan membawa kepada keganasan.

Mana-mana bayi yang didapati didaftarkan di bawah nama yang diharamkan akan dihalang daripada sistem pendaftaran isi rumah ‘hukou’ yang digunakan di negara 1.3 bilion jiwa itu.

Sistem itu digunakan bagi tujuan mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pelajaran.

Xinjiang merupakan wilayah majoriti Islam, kawasan minoriti daripada etnik Uighur, menurut Human Rights Watch (HRW).

“Ini merupakan antara sekian banyak larangan terhadap kebebasan beragama atas nama cuma menyekat ekstremisme,” kata HRW seperti dilapor The Telegraph.

Senarai rasmi nama Islam yang diharamkan sebelum ini telah diedarkan di Hotan, selatan Xinjiang, seawal 2015, kata sumber kepada Radio Free Asia.

Nama dengan dakwaan berkonotasi terlalu keagamaan – seperti Jihad, Imam, Mecca, Saddam dan Haji – diharamkan.

Nama tersebut dikatakan ‘membesar-besarkan semangat keagamaan’, walaupun ia pilihan popular ibu bapa Islam di seluruh dunia.

Pada 1 April, pihak berkuasa di sini turut mengenakan larangan terhadap lelaki yang memakai jambang atau wanita yang memakai purdah, serta  memberi amaran kepada mereka yang enggan menonton TV atau radio kerajaan.

Konflik antara etnik Uighur dengan Han, kaum majoriti dan golongan yang menguasai kerajaan sering tercetus.

Pihak berkuasa di Beijing sering menuduh etnik Uighur kerana didakwa mencetuskan ketegangan dan kekacauan di sini, manakala media sosial semakin menyemarakkan sentimen Islamofobia. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru