KUCHING: Sarawak akan mengguna pakai konsep e-cooperative yang diselaraskan dengan pembangunan ekonomi digital yang sedang dibangunkan oleh kerajaan negeri bagi mengembangkan aktiviti dan status gerakan koperasi di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Beliau berkata gerakan koperasi boleh memperoleh faedah daripada pelaksanaan pembangunan ekonomi digital dengan berkonsepkan e-cooperative yang memberi fokus kepada penyediaan perkhidmatan secara dalam talian (on-line) kepada anggota dan pelanggan seperti permohonan pinjaman, permohonan menjadi anggota, penyaluran maklumat dan urus niaga perniagaan.

Konsep ini, katanya selari dengan dunia tanpa sempadan yang mana koperasi boleh menjalankan urus niaga dengan memasarkan produk dan perkhidmatan secara maya bukan sahaja dalam negara malah ke luar negara.

Di samping itu, beliau berkata modul pembangunan modal insan seperti kursus, latihan dan pembelajaran on-line boleh dipraktikkan secara meluas seperti yang sedang diusahakan oleh Maktab Koperasi Malaysia pada masa ini, yang boleh menjimatkan kos dan masa.

Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak menyeru usahawan dan koperasi di Sarawak merebut peluang-peluang serta lebih terbuka dan responsif dengan persekitaran serta keperluan perniagaan semasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Padan Niaga: Peluang-Peluang Perniagaan Koperasi dan Pengurusan Kewangan anjuran Suruhajaya Koperasi Malaysia di sini semalam.

Katanya, strategi membangunkan ekonomi digital akan dapat mengubah model perniagaan tradisional sedia ada, sekali gus mewujudkan model perniagaan berasaskan digital dan mempertingkatkan pencapaian perniagaan.

Sementara itu, Awang Tengah turut menggesa gerakan koperasi di Sarawak mempelbagaikan aktiviti perniagaan masing-masing serta merebut peluang yang ditawarkan oleh kerajaan melalui Dasar Koperasi Negara.

Katanya, kerajaan telah menggariskan enam Bidang Keberhasilan Aktiviti Ekonomi yang boleh diceburi oleh gerakan koperasi yang mampu menyumbangkan nilai perolehan RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020, iaitu perkhidmatan kewangan; pemborongan dan peruncitan; pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan; pertanian dan industri asas tani; perladangan dan pembangunan hartanah. Bernama