SIBURAN: Kerusi Parlimen Puncak Borneo semakin menggelegak menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 di sebalik berita bahawa penyandang Datuk Seri James Dawos tidak akan mempertahankan kerusinya.

Mengikut sumber akar umbi di sini, pelbagai spekulasi muncul dengan pelbagai nama disebut-sebut bakal menggantikan Dawos bagi mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Dawos juga ialah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Datuk Seri James Dawos

Rangen anak Jamang, 55, Pegawai Tadbir Sarawak bagi daerah kecil Pedawan yang juga anak buah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Mambong, Datuk Dr Jerip Susil, kini mendapat sokongan daripada Parti Bersatu Rakyat (UPP).

Nama lain yang turut hangat disebut ialah Dato Clarence  Rorot Sanjen, 62, mantan ketua cawangan khas di Kuching, dan kini sebagai Timbalan Pengarah, Majlis Keselamatan Negeri.

Kedua-dua mereka adalah daripada keturunan Bidayuh Biperoh, keturunan yang sama dengan Dr Jerip.

Difahamkan mereka tidak mendapat sokongan para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu dan DUN Tarat.

Bagi pengundi DUN Tarat, dikatakan lebiih cenderung kepada calon yang daripada etnik Penyewa’.

Nama ketiga ialah Siang Prede, 46, setiausaha sulit Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, yang juga mempunyai pertalian darah dengan penyandang.

Selain tiga nama berkenaan, seorang lagi yang turut disebut-sebut ialah Datuk Detta Samen, pegawai khas Dawos.

Dawos telah mewakili kerusi Parlimen Mambong sejak PRU 1999, dan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada 2009, mengganti Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib yang berundur daripada jawatan itu.

Pada 2013, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Para pengundi  di Puncak Borneo mahu muka baharu ditampilkan dalam PRU-14 menggantikan beliau. – Sarawakvoice