KUALA LUMPUR: Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee mengingatkan mereka yang berisiko tinggi dijangkiti virus influenza agar mendapatkan pelalian vaksin influenza setiap tahun.

Komplikasi influenza boleh memburukkan penyakit kronik seperti penghidap jangkitan paru-paru atau penyakit jantung, HIV/AIDS, kencing manis dan asma, sehingga boleh membawa maut jika tiada langkah pencegahan diambil.

Warga emas 65 tahun ke atas serta kanak-kanak lima tahun ke bawah dan wanita hamil turut termasuk dalam kategori golongan berisko.

Memetik Bernama pada Selasa, Dr Lee berkata, risiko jangkitan dapat diminimumkan 50 hingga 70 peratus jika golongan berisiko berkenaan menerima pelalian vaksin ini setiap tahun.

Pada 12 April lepas, seorang wanita hamil meninggal dunia akibat influenza A (H1N1) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Sementara, dalam laporan lain, tujuh ahli keluarga wanita tersebut turut mengalami gejala sama, dengan seorang daripadanya positif H1N1.

Dr Lee berkata H1N1 bukan virus baharu sebaliknya ia sudah dikesan sebagai selesema babi pada 24 April 2009.

Dr. Lee berkata, kebanyakan orang dalam kategori risiko rendah iaitu orang sihat tanpa masalah perubatan sampingan, jika mengidap virus ini boleh pulih dalam satu atau dua hari selepas dijangkiti.

Syaratntya mereka hendaklah banyak berehat, minum banyak air dan mengambil ubat parasetamol.

Dr Lee turut mencadangkan agar individu mengamalkan adab batuk yang baik bagi mencegah penularan jangkitan influenza, amalan kerap membasuh tangan serta mengekalkan tahap kebersihanan diri yang tinggi. – Sarawakvoice