KAPIT: Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg tiba di Kapit untuk lawatan kali pertamanya ke daerah itu sejak dilantik menjadi Ketua Menteri.

Beliau tiba dengan helikopter bersama isterinya Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang pada kira-kira 3.15 petang, dan disambut oleh lebih 1,200 orang terdiri daripada ketua jabatan, anggota parti komponen Barisan Nasional dan wakil badan bukan kerajaan.

Beliau kemudiannya melawat Pameran Pembangunan Bahagian Kapit di bilik mesyuarat Dewan Suarah Kapit.

Abang Jo berserta isteri akan menghadiri majlis makan malam bersama 5,000 jemputan di Dewan Suarah Kapit pada 7 malam.

Turut hadir ke majlis makan malam itu Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dan Anggota Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong. Bernama