Satu serangan nuklear kapal AS tenggelam, tiga serangan dunia hancur!

PYONGYANG: Korea Utara menggertak untuk menenggelamkan kapal induk Amerika Syarikat, USS Carl Vinson yang berlayar menuju Semenanjung Korea.

AFP melaporkan, akhbar Rodong Sinmun edisi Ahad dengan angkuhnya mengaku kekuatan Korea Utara mampu menenggelamkan kapal perang tersebut hanya dengan satu serangan senjata nuklear.

USS Carl Vinson dijangka tiba di Semenanjung Korea minggu ini selepas Presiden AS Donald Trump berkata kesabaran AS berkaitan isu nuklear Pyongyang sudah berakhir.

Ketegangan Washington-Pyongyang meningkat selepas Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik sempena perarakan tentera memperingati ulang tahun pengasas negara komunis tersebut yang juga datuk kepada Kim  Jong-un.

Manakala, akhbar prokerajaan, Minju Joson memperingatkan bahawa tentera sedia menangani tanpa ampun pukulan yang mampu menghancurkan musuh.

Minggu lepas, Menteri Luar Amerika Syarikat, Rex Tillerson semasa melawat Asia berkata AS mahu memberi tekanan kepada rejim Korea Utara.

Rondon Sinmun mencabar jika AS memulakan serangan, maka bukan hanya imperialis AS di Korea Selatan dan sekitarnya yang musnah, bahkan tanah besar AS akan hancur menjadi debu.

Korea Utara turut mengancam menyerang Australia dengan senjata nuklear jika terus menjadi sekutu AS.

Unit tempur Carl Vinson turut melakukan latihan tentera bersama Angkatan Laut Jepun di Laut Filipina pada Ahad lepas.

Sementara, Metro pada Isnin melaporkan kenyataan Delegasi Kehormat Jawatankuasa Hubungan Budaya Korea Utara Dengan Negara asing, Alejandro Cao de Benos bahawa tiada yang berani menyentuh Korea Utara.

Beliau menyebut, Korea Utara mampu menghancurkan dunia bila-bila masa sahaja.

Benos, 43, berkata, “Korea Utara memiliki bom termonuklear. Dengan tiga bom tersebut, dunia akan selesai.”

Benos menjadi duta besar tidak rasmi Korea Utara dan merupakan orang barat pertama mendapat kewarganegaraan Korea Utara.

Beliau menghabiskan masanya di Pyongyang dan sesekali kembali ke kampung halamannya di Tarrogona, Spanyol.

Benos memuji Korea Utara dengan menggambarkan, “mereka hidup damai. Tiada konflik sosial, tiada orang yang tidur di jalanan.

“Ini cara hidup yang lain dengan semua orang bekerja dalam gerakan koperasi yang besar,” ujar Benos. – Sarawakvoice