Tuesday, October 4, 2022

Rafizi tidak mahu masalah Datuk Adam dikaitkan dengan parti

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Satu tindakan perlu diambil terhadap Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly bagi mengelak kemelut peribadi beliau daripada mengheret Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan ke dalam masalah peribadinya.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli  berkata tindakan akan diputuskan sama ada melalui keputusan bersama kepimpinan PKR untuk membolehkan Adam ‘bercuti’ daripada jawatan parti sehingga kesnya selesai.

Alternatif lain, kata Ahli Parlimen Pandan itu adalah melalui kaedah Lembaga Disiplin seperti yang diusulkan  Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Keengganan Adam menuruti nasihat supaya melakukan pengisytiharan harta juga telah menyebabkan masalah yang melanda kian melarat,” kata Rafizi dalam satu kenyataan.

“Apa pun, saya berharap seluruh kekuatan parti dari akar umbi ke peringkat pimpinan mengambil langkah untuk menjarakkan parti dari kemelut peribadi seperti ini,” ujarnya.

“Sebab itu semasa kekayaan Adam mula-mula menarik perhatian ramai, saya dengan serta-merta menasihatkan beliau supaya mengisytiharkan harta,” tambahnya.

Rafizi berkata, Adam boleh menjernihkan keadaan supaya tidak mengheret PKR ke dalam kemelut peribadi beliau dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin.

Adam disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dituduh di mahkamah  pada 21 April lalu kerana memiliki kekayaan luar biasa. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru