MIRI: Tertekan, tersinggung dan marah dengan aksi tidak sensitif seorang pelakon dan pelawak “Sukan Tak Sentral”, bekas jaguh 100 meter kebangsaan, Watson Nyambek hari ini tampil membuat laporan polis.

Laporan dibuat di Balai Polis Pusat Miri sekitar jam 10 pagi tadi menamakan stesen TV3 dan penerbit program tersebut sebagai merendah-rendahkan maruah mendiang bapanya.

Program tersebut diterbitkan Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios), dan disiarkan di saluran TV3 pada Sabtu.

Watson, 41 tahun yang kini bertugas sebagai jurulatih sepenuh masa di Majlis Sukan Negeri Sarawak hadir ke balai polis dengan ditemani 40 penyokong yang mewakili sembilan badan bukan kerajaan dan pertubuhan politik.

Antaranya termasuklah Persatuan Dayak Sarawak, Gagasan Anak Dayak Sarawak, Terabai Menua, Borneo Tail Club Miri, Dayak Bikers, Persatuan Kuntao Miri Kuntao dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Cawangan Lambir.

Biarpun telah membuat laporan polis, Watson mengakui jiwanya masih tidak tenteram.

“Saya masih berduka dan kecewa dengan program parodi tersebut dan merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap TV3 and Primeworks Studios Sdn Bhd, biarpun mereka telah mengemukakan permohonan maaf semalam.

Dalam laporan tersebut, Watson memaklumkan bahawa pada jam 11.15 pagi, 22 April di Hotel Medan, Sibu, beliau telah dimaklumkan oleh isterinya Fellizia Michael Samdom berhubung rancangan komedi TV3 bertajuk ‘Sukan Tak Sentral’ yang menampilkan hos Azizul Ammar Abu Hassan dan Marsha Milan Londoh, yang menggayakan bunyi kambing ketika menyebut nama mendiang bapanya, Nyambek.

“Cara mereka menyebut nama tersebut seolah-olah menyamakan bapa saya dengan binatang.

“Ia telah memberi malu kepada keluarga kami dan saya berasa marah, terutamanya setelah penerbit tidak mendapatkan kebenaran saya untuk menyiarkan program tersebut.

“Saya meminta pihak polis untuk menyiasat kes ini dan saya mahu tahu motif di sebalik tindakan tidak sensitif penyampai tersebut.

“Saya juga mahu tindakan diambil terhadap dia (Azizul Ammar),” katanya.

Jelasnya, beliau masih masih marah kerana penyampai tersebut bukan sahaja memperlekeh dan menghina diri dan keluarganya, bahkan seluruh rakyat Sarawak.

“Ini sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

“Mereka perlu bertanggungjawab terhadap tindakan bodoh ini. Saya sekarang sedang mempertimbangkan tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Watson yang memakai baju milik Tan Sri Adenan Satem juga berikrar untuk tidak menarik balik laporan tersebut, biarpun setelah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Primeworks Studios di Hotel Grand Palace, jam 3 petang ini.

Watson pada awal pagi tadi bertemu dengan Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang yang akan menjadi saksi permohonan maaf tersebut.

Difahamkan pengurusan tertinggi Primeworks Studios turut bertemu dengan Ahmad Lai di kediamannya tidak lama selepas itu. – Sarawakvoice