MIRI: Bekas raja pecut negara, Watson Nyambek sebentar tadi menolak permohonan maaf daripada pihak Primeworks Studios Sdn Bhd berhubung insiden nama bapanya dipermain seperti kambing.

Mimik tersebut dilakukan oleh pengacara Azizul Ammar Abu Hassan dalam rancangan “Sukan Tak Sentral” pada dua hari lepas.

Dalam sidang media yang dihadiri kedua-dua pihak, dengan Primeworks Studios oleh diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar, Watson menjelaskan dia masih tidak dapat menerima penghinaan itu.

“Sekarang saya hendak jelaskan di sini, walaupun mereka meminta maaf di hadapan anda semua (media), di tv serta di depan rakyat Malaysia, khasnya di Sarawak, kepada saya, saya sekarang ini susah hendak menerima maaf tersebut.

“Ini kerana bapa saya ini dipandang seperti seekor haiwan. Apa perasaan saya dan bagaimana perasaan anda semua?

Katanya, untuk ketika ini hatinya belum terbuka untuk memberikan kemaafan.

“Mungkin suatu masa nanti, hati saya  terbuka, dan saya akan menerima kemaafaan ini.

“Jadi sekarang saya belum hendak menerima maaf tersebut.

Tegasnya, beliau telah membuat laporan polis pada pagi tadi kerana perkara tersebut bukan main-main ataupun lawak.

“Saya akan teruskan perjuangan saya mendapatkan keadilan,” katanya yang akan mendapatkan khidmat guaman untuk menentukan langkah seterusnya.

Watson, 41 tahun dan isterinya, Fellizia Michael Samdom sebelum itu hadir dalam rundingan damai dan maaf yang ditangani oleh Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang di Hotel Grand Palace, di sini.

Ahmad Izham sebelum itu mengumumkan bahawa program tersebut telah ditamatkan siarannya serta-merta, manakala pengacara Azizul Ammar digantung daripada siaran serta-merta untuk tempoh yang tidak dinyatakan.

Penerbit program dan kru yang terlibat turut akan menerima tindakan, yang belum diputuskan.

Ahmad Izham berkata, pihaknya akan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam siaran saluran TV3 sebagai menyatakan kekesalan terhadap insiden yang diistilahkan “tragedi penyiaran” itu.

Turut hadir dan menyatakan kekesalan ialah Azizul Ammar sendiri. – Sarawakvoice