KUCHING: Polis akan memanggil dan menyiasat pengacara rancangan TV  swasta ‘Sukan Tak Sentral’ yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan penonton, khususnya di Sarawak susulan laporan polis yang dibuat oleh Watson Nyambek di Miri pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Dev Kumar,  kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, pengacara terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.

“Kami akan memanggil pengacara dan penerbit  program itu untuk siasatan,” katanya seperti dipetik The Star Online hari ini.

“Kami juga menerima laporan polis daripada Watson Nyambek di Miri pada Isnin,” ujarnya.

Pengacara  berkenaan, Ammar  atau nama sebenar Azizul Ammar Abu Hassan semalan memohon maaf atas keterlanjurannya mempersendakan nama bapa bekas pelari pecut negara Watson Nyambek dalam sebuah program komedi terbabit.

Watson merupakan bekas pelari pecut yang telah mengharumkan nama negara dan menjadi kebanggaan anak Sarawak khususnya.

Menerusi program yang disiarkan pada malam Sabtu, hos program itu, Ammar mempersendakan nama bapa Watson dengan menyamakan dengan bunyi kambing, menyerupai bunyi hujung nama ayah Watson.

Terdahulu, Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) turut mengeluarkan permohonan maaf kepada Watson dan keluarganya. – Sarawakvoice