Thursday, September 29, 2022

Wahab Aziz sumbang suara, sumbang dana RM30,000 untuk Kolej Tingkatan 6 Saratok

Secara Rawak

SARATOK: Bersesuaian dengan tajuk lagu yang didendangkan ‘berkorban apa saja’, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Kalaka, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz terus bermurah hati mengumumkan sumbangan berupa geran kerajaan berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Tingkatan 6 Saratok malam tadi.

Wahab berjaya memukau hadirin dengan bakat nyanyian hebat ketika berlangsungnya Majlis Makan Malam Amal PIBG Kolej Tingkatan Enam Saratok yang dilangsungkan di Dewan Dayak Saratok di sini yang bermula seawal jam 8 malam.

Datuk Wahab sewaktu hadir makan malam amal anjuran Kolej Tingkatan 6 di Saratok

Wahab terus mencuri tumpuan hadirin apabila tampil dengan lagu kedua berjudul ‘gelora’ yang dipersembahkan secara berduet dengan salah seorang guru yang hadir dalam majlis berkenaan.

Sebelum sesi suara emas itu, Wahab dalam ucapan perasmiannya antara lain mengingatkan hadirin dan ibu bapa agar memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan yang telah disediakan kerajaan di daerah itu .

“Kita warga Saratok mempunyai empat buah sekolah menengah dengan salah satu daripadanya adalah merupakan kolej tingkatan enam yang pertama di Sarawak dan yang ketujuh seumpamanya di Malaysia.

“Harapan saya gunakan kemudahan untuk belajar ini sebaik mungkin. Pastikan pendidikan anak-anak diberi perhatian sewajarnya. Buktikan kawasan kita terus melahirkan pelajar cemerlang dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Hadir sama, Pengetua Kolej Tingkatan 6 Saratok, Haji Abang Adrus Abang Junidi , Pegawai Daerah Saratok, Ikhmal Abdullah, ketua jabatan, ketua masyarakat dan serta kira-kira 800 tetamu. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru