ALOR SETAR:  Barisan Nasional (BN) Kedah mahu lebih agresif menambat hati pengundi muda dalam usaha mengekal dan merampas semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata tumpuan terhadap pengundi muda yang rata-rata berusia 30 tahun ke bawah perlu dilakukan berikutan pengalaman PRU12 yang menyebabkan BN gagal membentuk kerajaan.

Dalam PRU dahulu, kebanyakan anak muda tidak memihak kepada BN jadi, tumpuan kita adalah untuk itu.

Sebab itu, parti komponen BN perlulah mendekati pengundi muda dengan melakukan pelbagai program…kerajaan pun sekarang banyak buat program membabitkan belia. Kita yakin kita boleh (tawan hati pengundi muda), katanya.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja BN di Bangunan Tunku di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada masa ini, sebanyak 20 kerusi DUN dimiliki BN, PAS (8), PKR (4), DAP (2) , Parti Amanah Negara (1) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masing-masing satu.

Ahmad Bashah berkata beliau amat berpuas hati dengan laporan persiapan jentera daripada setiap parti komponen dalam usaha memastikan 1.1 juta pengundi di negeri ini menyokong BN pada PRU ke-14.

Malah, beliau yakin ia mampu memenuhi hasrat BN untuk mendapatkan 2/3 kerusi dalam PRU kali ini.

Saya juga mahu setiap parti komponen BN tanpa mengira MCA, MIC, UMNO, Gerakan supaya mengenal pasti jumlah anggota mereka daripada jumlah 1.1 juta pengundi ini supaya gerak kerja dapat disusun atur, katanya. Bernama