Friday, September 30, 2022

Saintis yakin MH370 di zon utara, ketika M’sia, Australia putus asa mencari

Secara Rawak

SYDNEY: Ketika operasi mencari MH370 yang menelan kos AS$150.54 juta (RM662 juta) ditamatkan, muncul analisis terbaharu bahawa serpihan pesawat Malaysia Airlines MH370 kemungkinan besar berada di zon utara.

Saintis terkemuka Australia dari Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) Dr David Griffin berkata, dapatan terbaharu menyokong kesimpulan kawasan pencarian yang dikenal pasti First Principles Review.

Laporan tersebut dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), agensi utama pencarian MH370 Disember lalu merujuk kepada kawasan hujung selatan, dekat 35 darjah selatan.

Foto CSIRO

Kawasan tersebut dianggarkan seluas 25,000 persegi di utara kawasan pencarian asal.

Agensi saintifik Kerajaan Australia pada Jumaat berkata, Australia dan Malaysia, menolak cadangan pencarian di utara kawasan yang diselidiki seluas 120,000 kilometer persegi Januari lalu.

“Analisis baharu ini menjadikan kami lebih yakin dengan penemuan kami,” kata Dr. David.

“Ketibaan serpihan MH370 di Pulau Reunion pada 2015 bertepatan dengan teori ini,” kata Griffin.

Australia dan Malaysia menganggap cadangan itu terlalu umum dan tidak spesifik.

Menurut Reuters, Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Australia, Darren Chester berkata, beliau menyambut baik laporan CSIRO, namun ia gagal memberikan bukti baharu lokasi spesifik MH370.

Katanya, salinan laporan itu diserahkan kepada kerajaan Malaysia untuk pertimbangan.

“Malaysia ialah penyelidik utama dan permintaan pada masa depan berkaitan pencarian MH370 dipertimbangkan oleh Australia,” ujar Darren memetik laporan BBC.

MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur bersama 239 orang yang berada dalam pesawat pada 8 Mac 2014.

Kehilangan MH370 menjadi antara misteri aviasi paling besar di dunia.

Laluan penerbangan terakhir MH370 dipercayai ialah di selatan Lautan Hindi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru