KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg meminta semua pihak bersikap rasional berhubung rundingan di antara Kerajaan Negeri dan Petronas.

“Kita perlu berfikir waras dan rasional dalam rundingan kita.

“Kita jangan dikuasai emosi,” katanya yang merujuk kepada hasrat Petronas untuk menjual blok gas luar pesisir SK316 yang terletak di perairan Sarawak.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja kepada Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak di sini semalam.

Jelasnya, blok gas terbabit merupakan eksplorasi yang menelan biaya yang besar, sehingga berbilion ringgit.

“Saya tidak fikir Sarawak akan melabur dalam projek tersebut,” katanya lagi.

Menurut Reuters, Petronas berusaha menjual blok tersebut pada harga AS$1 bilion dan antara pembidanya termasuklah Royal Dutch Shell, ExxonMobil Corp, PTT Exploration and Production dan beberapa firma Jepun.

Katanya, desakan sesetengah pihak agar blok ini seharusnya diberikan percuma kepada Sarawak adalah kenyataan yang beremosi.

“Yang pasti Petronas kini komited membantu kita untuk terlibat dalam industri minyak dan gas.

“Biarpun mereka tidak dapat memenuhi tuntutan royalti 20 peratus daripada kita tetapi kita memperolehnya secara in lieu.

“Kita juga ada loji methanol dan Petronas akan membekalkan gas,” katanya lagi.

Petronas tegasnya, juga akan membantu Sarawak melaksanakan aktiviti hiliran gas dan minyak, selain membantu mentransformasikan Bintulu sebagai hab petrokimia.

Ditanya status rundingan royalti di antara kedua-dua pihak, jelasnya, ia bergantung kepada harga minyak di pasaran dunia.

“Harga minyak sekarang adalah sekitar AS$50 ke AS$55 per tong.

“Kalau kita menuntut royalti kepada 20 peratus, bermakna Petronas juga perlu memberi kepada Kerajaan Pusat sebanyak 20 peratus.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat juga akan memperoleh cukai daripada Petronas.

Keadaan ini katanya, ditambah kos pengeluaran yang melambung tinggi, boleh menyebabkan Petronas gulung tikar.

“Kita perlu berfikiran rasional. Jika kita tidak boleh memperoleh royalti ketika ini, kita boleh pergi kepada aktiviti hiliran dan marginal field. Kita ada pilihan.

“Kita juga boleh memiliki saham dalam Petronas Carigali, yang pulangannya mungkin lebih baik daripada royalti,” tambahnya lagi.

Ia lawatan pertama Ketua Menteri kepada ibu pejabat itu sejak menjawat jawatan itu pada Januari lalu. – Sarawakvoice