Sunday, September 25, 2022

Guna pakar tempatan untuk perkasa penguasaan bahasa Melayu

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Pendidikan tidak akan menggunakan kepakaran perunding, sebaliknya kepakaran pensyarah universiti tempatan dan ketua masyarakat bagi memperkasakan penguasaan bahasa Melayu di sekolah khususnya sekolah vernakular  sesuai dengan peranannya sebagaialat perpaduan, kata Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Kita tidak berhasrat untuk menggunakan konsultan dalam perkara ini, sebaliknya kita akan pakai pakar dalaman yang faham seperti profesor dari universiti tempatan dan juga pemimpin setempat.

Katanya, beliau juga akan meminta Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof untuk menilai  program-program yang sedang dilaksanakan ketika ini seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

Justeru, keberkesanannya perlu dikaji semua bagi mengukuhkan kesepaduan sosial dan integrasi dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina (C) Stampin di sini semalam.

“Kita ada program tetapi tidak berapa kuat termasuk RIMUP. Kita kena duduk bersama, Kerajaan Persekutuan dan Negeri tengok macam mana nak buat supaya integrasi serta ada interaksi antara kaum,” katanya.

Kongres Budaya 2017 Sabtu lalu meluluskan 11 resolusi untuk dibincangkan, antaranya mempertahan dan menyemarakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib dalam ucapannya berkata, menjadi cabaran besar untuk meletakkan kembali masyarakat ke landasan betul, khasnya dalam mewujudkan masyarakat berbudaya tinggi.

“Martabat Bahasa Melayu, polemik Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta bahasa lain. Kita martabat Bahasa Melayu tetapi kita tidak halang penguasaan bahasa kedua.

“Kita mahu semua rakyat tanpa mengira kaum mesti boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru