Amaran China, semua jadi abu jika perang nuklear AS-Korea meletus

0
5

BEIJING: China memperingatkan Amerika Syarikat (AS) jangan memperkecil serta mengabaikan konfliknya dengan Korea Utara, kerana jika konflik bertukar menjadi perang, tiada sesiapa pun akan menang.

Menteri Luar Wang Yi khuatir ke atas kemajuan dan pengembangan senjata nuklear Korea Utara.

Sementara, AS menggerakkan armada Angkatan Lautnya ke Semenanjung Korea.

China, penyokong Korea Utara, khuatir jika rejim Korea Utara jatuh ketika ini, akan berlaku masalah serius di sempadan.

Wang mengatakan beliau merasakan konflik dapat pecah bila-bila masa sahaja menjadi perang nuklear jika tidak ditangani dengan baik.

China meminta semua pihak bersabar dan menahan diri daripada tindakan memprovokasi dan mengancam antara satu sama lain.

Pada Khamis lepas, Presiden AS Donald Trump mengatakan “masalah di Korea Utara diuruskan”.

Trump dalam nada mengancam berkata, jika China memutuskan membantu, itu bagus sekali, “jika tidak, kami akan menyelesaikan masalah tanpa mereka!”

Sementara, tidak mahu mengalah, agensi berita KCNA milik Korea Utara melaporkan kenyataan tentera bahawa, “usaha melawan AS dan sekutunya dilakukan dengan sikap tanpa ampun, tidak membiarkan penyerang bertahan.”

AS sengaja menunjuk belangnya kepada Korea Utara dengan mengebom pangkalan udara di Homs Syria atas alasan Syria menggunakan senjata kimia ke atas penentangnya di Idlib.

Manakala, AS turut menjatuhkan “induk segala bom” ke atas markas ISIS di Afghanistan.

Parade truk militer melewati jalanan Pyongyang sehari sebelum Hari Matahari (Foto: Damir Sagolj/Reuters)

Korea Utara baru sahaja meraikan ulang tahun kelahiran pengasas negara komunis itu, Kim Il-sung (datuk) ke-105 yang bergelar Putera Matahari dan Kim Jong-il (ayah) kepada pemimpin tertinggi Kim Jong-un di hadapan patung mereka di Pyongyang, Jumaat semalam.

Ratusan trak tentera mengangkut warga Korea Utara memenuhi jalan raya sambil memperingati AS agar mengakhiri “histeria tentera” atau sedia menghadapi risiko serangan balasan Korea Utara.

Menurut Reuters pada Sabtu yang memetik KCNA, jurucakap staf Umum Tentera Rakyat Korea menurut KCNA berkata, semua retorik provokatif AS memusuhi Korea Utara akan digagalkan oleh rakyat dan tentara Korea Utara.

Korea Utara, mengejek tindakan AS menghantar kapal induk bertenaga nuklear USS Carl Vinson ke Asia Timur.

Ia berkata pihaknya tidak takut dengan sebarang ancaman apapun dari AS. – Sarawakvoice