Pas alu-alukan dakwaan Rafizi, bekas timbalan presiden terima wang 1MDB

KUALA LUMPUR: PAS  mengalu-alukan siasatan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap parti ekoran pendedahan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli semalam bahawa bekas timbalan presiden Pas Nasharuddin Mat Isa  menerima sejumlah dana berkait IMDB.

Namun Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bagi Pas, pendedahan Rafizi langsung tidak memberi sebarang kesan terhadap parti dan menegaskan Pas mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa untuk membersihkan namanya.

Pertama, katanya, Nasharuddin Mat Isa bukan lagi pimpinan parti dan sudah tiada kena-mengena dengan parti, bahkan beliau sudah tidak aktif  dalam parti sejak tewas bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas pada tahun 2011.

“PAS menegaskan bahawa ia tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada Nasaruddin Mat Isa,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua, ujarnya rakyat juga masih mengingati taktik fitnah yang digunakan untuk menjatuhkan bekas ketua pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara dan juga Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang berakhir dengan permohonan maaf di mahkamah kepada  Khalid daripada pihak yang dituduhnya selepas beliau dijatuhkan.

“Dengan kesedaran politik rakyat hari ini, Pas yakin pihak yang masih menggunakan taktik fitnah untuk membunuh lawan, bukan sahaja akan dicemuh malah akan ditolak pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Ujarnya, adakah pendedahan Rafizi sekadar mencari publisiti murahan atau sengaja mengalihkan perhatian yang dijana oleh RUU355 yang diterima majoriti rakyat beragama Islam, itu hanya beliau yang tahu.

“Dakwaan Rafizi bahawa matlamat tuduhan yang dilakukan oleh beliau telah disalurkan oleh seorang bekas pegawai kanan SPRM juga menimbulkan seribu tanda tanya. Apa pun, bagi Pas ia bukanlah urusan parti,” katanya lagi.

Dalam akuan bersumpah yang ditandatanganinya semalam, Rafizi berkata  perkara yang didedahkannya itu diberitahu kepadanya oleh seorang bekas pegawai “paling kanan” dari SPRM yang terbabit dalam siasatan mengenai dakwaan salah guna dana 1MDB. – Sarawakvoice