Monday, June 27, 2022

Percubaan rekod dunia ‘Paling ramai pakai kostum kucing’

Secara Rawak

KUCHING: Edisi ketiga Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa ASEAN (AIFFA) yang berlangsung tiga hari mulai 4 Mei ini akan cuba menempatkan nama dalam Guiness World Records bagi pengunjung paling ramai memakai kostum kucing.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Lee Kim Hin berkata dalam usaha mencapai rekod itu, penganjur mahu penduduk bandaraya Kuching supaya memeriahkan majlis perasmian AIFFA pada 4 Mei ini, di ruang terbuka Kuching Amphitheatre dengan memakai kostum kucing.

Beliau berkata pegawai dari Guiness World Records akan hadir untuk memantau, bagaimanapun mereka yang ingin mengambil bahagian perlu mematuhi peraturan ditetapkan, termasuk memakai kostum kucing yang lengkap, disertai telinga, ekor dan misai.

“Ayuh kita sama-sama mengambil bahagian dalam percubaan ini, layarilah www.kuchingworldrecord.com bagi mendapatkan butiran dan maklumat lanjut untuk mempromosi Sarawak khususnya Kuching, kepada dunia.

“Ia percuma kepada semua, hiburan di ruang terbuka bagi seluruh keluaga,” katanya pada persidangan akhbar di sini semalam.

Lee berkata barisan artis tersohor yang akan membuat persembahan pada majlis perasmian itu termasuk penyanyi Dayang Nurfaizah dan Datuk David Arumugam, di samping penampilan istimewa oleh karektor animasi kesayangan ASEAN, Upin dan Ipin.

AIFFA adalah pertandingan dwitahunan bagi pembikin filem dari negara ASEAN, yang disokong oleh Sekretariat ASEAN sebagai satu daripada aktiviti bersama bagi perkumpulan serantau itu, dengan diadili oleh juri antarabangsa dan ASEAN.

Ia menawarkan anugerah dalam 16 kategori meliputi semua aspek utama dalam bidang kreatif dan tenikal pembikinan filem.

Pada hari kedua festival di sebuah hotel, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dijangka melancarkan ‘Aiffa Biz World’, suatu sesi rangkaian perniagaan dan pameran yang akan memberi manfaat kepada komuniti perniagaan ASEAN dan penggiat filem. Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru