Hak asasi manusia dakwa jet Rusia, Syria gugurkan bom fosforus putih

0
4

DAMSYIK: Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (SOHR) mendakwa, jet pejuang milik rejim Bashar al-Assad atau Moscow menggunakan bahan pembakar, fosforus putih dalam bom yang digugurkan di Saraqeb, Idlib dan al-Latemenah, Hama pada Sabtu dan Ahad lepas.

Menurut Reuters, serangan bom tersebut dilancarkan beberapa hari selepas insiden serangan senjata kimia yang meragut sekitar 87 jiwa termasuk puluhan kanak-kanak di Khan Sheikhoun.

Sehari sebelum itu, pada Jumaat AS bertindak balas melancarkan 59 peluru berpandu Tomahawk menyerang pangkalan tentera udara di Homs, barat Damsyik, Syria memusnahkan senjata kimia dan prasarana serangan bahan kimia Syria.

Rakaman video di media sosial menunjukkan kebakaran besar tercetus selepas bebola api fosforus tersebut dilepaskan.

Pekerja keselamatan mengakui bom fosforus putih digunakan dalam serangan di Saraqeb.

Katanya, penggunaan fosforus bukan perkara baharu bagi Syria dan Rusia bertindak ke atas penentang mereka.

Pada hujung Disember 2015, beberapa laporan mendakwa Rusia menjatuhkan fosforus putih terhadap penduduk awam di barat laut Syria atas nama pengeboman terhadap Daesh.

Senjata kimia berbahaya itu diharamkan dalam Konvensyen Geneva kerana mengandungi toksik dan boleh menyebabkan daging dan tulang manusia terbakar, kegagalan jantung, hati dan buah pinggang.

Pertubuhan hak asasi manusia mendakwa serangan udara tentera Rusia itu mengorbankan ramai penduduk awam.

Pada 13 November 2015, saksi memberitahu The Times bahawa ramai penduduk awam mengalami kecederaan parah berikutan dua serangan fosforus.

Manakala pada 2016, akhbar tempatan Anatolia mendakwa, setelah menggunakan bom berangkai dan hos letupan di Syria, tentera Rusia didakwa menggunakan fosforus menyerang utara Aleppo.

Pesawat Russia menghujani bandar Hurriyatan, Kafr Hamra, Babis, Yakd al-Adis dengan bom fosforus putih.

Menurut sumber itu lagi, tentera Rusia dilapor menggunakan bom fosforus putih di wilayah Aleppo sejak sebulan terakhir.

Fosforus putih mudah terbakar apabila bersentuhan dengan udara sehingga materialnya benar-benar habis.