Saturday, December 3, 2022

Pegawai China dipecat kerana tidak mahu merokok di hadapan penganut Islam

Secara Rawak

BEIJING: Pegawai China yang didakwa memberi kenyataan tidak mahu merokok di hadapan Muslim di Xinjiang, dilucut jawatan kerana dianggap sebagai mempunyai pendirian politik yang tidak stabil dan tidak sesuai dengan dasar komunis.

Xinjiang merupakan penempatan bagi etnik minoriti Uyghur yang menganut Islam.

Pada kaca mata pemerintah China, etnik Uyghur dianggap sebagai kumpulan yang ekstrem.

Menurut AFP yang memetik Global Times, pihak berkuasa daerah Hotan pada minggu lepas mendakwa Setiausaha Desa Parti Komunis Wilayah Barat Jelil Matniyaz, tidak berani merokok di hadapan tokoh agama.

Pemerintah di Hotan menganggap anggota yang taat kepada parti komunis perlu menunjukkan mereka berani merokok di hadapan penganut agama yang mengharamkan rokok.

Etnik minoriti Uyghur

Ini demi menyatakan komitmen mereka pada sekularisme yang memisahkan agama daripada politik.

Matniyaz dianggap gagal berhadapan dengan kekuatan daerah yang dianggap ekstrem dengan tunduk kepada cara penduduk di kawasan yang diwakilinya.

Atas sikap “bacul” itu, Matniyaz dipecat dari jawatannya dan diturunkan ranking daripada staf senior menjadi staf umum.

Beijing sangat sensitif dengan penduduk Xinjiang yang dituduh kerap melakukan keganasan.

Bahkan, Beijing meletakkan kononnya etnik Uyghur sebaris jaringan teroris asing.

Dari perspektif yang lain, etik Uyghur yang majoritinya beragama Islam mengeluh hak budaya dan agama mereka terus didiskriminasi oleh kerajaan komunis.

Sementara China pula sentiasa mencari jalan menyekat kebebasan amalan etnik Uyghur dan Muslim di China.

Penganut Islam kebanyakannya menduduki wilayah barat laut Xinjiang, Gansu, Ningxia, barat daya di Yunnan dan Henan wilayah tengah.

Hui merupakan etnik penganut Islam tertinggi iaitu 9.8 juta orang diikuti etnik Uyghur 8.4 juta orang, Kazakhstan 1.25 juta, Dongxiang 514,000, Kyrgyz 144,000, Uzbek 125,000, Salar 105,000, Tajikistan 41,000, Bonan 17,000 dan Tatar 5,000.

Pada akhir Mac, China memperkenalkan undang-undang antiekstremisme di Xinjiang yang antaranya melarang individu memelihara jambang dan janggut lebat.

Mengikut statistik 2013, jumlah penganut Islam di China hanya 2 peratus, tetapi jumlahnya menyamai Muslim di Arab Saudi iaitu 26 juta orang, lebih ramai berbanding jumlah Muslim di Malaysia iaitu 20 juta orang.

Agama Islam mempunyai sejarah lama di China, wujud sejak Dinasti Tang apabila Khalifah Usman ibn Affan menghantar Saad ibn Abi Waqqas kepada Maharaja Tang di Gaozong pada 651M, 20 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Maharaja sangat berkenan dengan Islam dan memerintahkan masjid pertama dibina di Canton.

Zaman Dinasti Tang merupakan zaman gemilang di China dengan budaya kosmopolitan yang turut membantu memperkembang Islam. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru