BINTULU: Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Dennis Bunyam hari ini mengesahkan akan penemuan satu mayat yang tersangkut pada haluan bawah kapal di Sungai Kelabu, Tatau pagi semalam.

Menurutnya, mayat tanpa identiti itu dijumpai tersangkut ketika ia sedang mudik ke hulu sungai.

“Mayat dipercayai telah berada di dalam air lebih dua hari dan berumur sekitar lingkungan 40-an, dengan ketinggian sekitar 5 kaki.

Ketika ditemui katanya, mayat masih lengkap berpakaian baju-t tanpa kolar, berlengan pendek warna kuning cerah dan seluar pendek berwarna hitam.

“Siasatan awal juga tidak menemui sebarang tanda-tanda kecederaan pada tubuh mayat.

Sehubungan itu, Dennis menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga agar tampil membuat laporan dan membantu polis membuat pengecaman mayat.

“Mayat kini telah dibawa ke Hospital Bintulu untuk proses bedah siasat, dan kes itu ketika ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice