Thursday, September 29, 2022

KPN sahkan Peter tidak diculik, tapi dikesan berada di Thailand

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan, aktivis sosial Peter Chong kini dikesan berada di Thailand.

Khalid berkata Peter tidak diculik sebaliknya dikesan ke Thailand melalui rakaman foto beliau menaiki bas menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah 6.30 pagi, 7 April lepas.

Khalid kesal dengan penyebaran mesej yang tular di media sosial mengatakan kini sudah lima individu diculik.

Memetik FMT pada Selasa, Khalid pada sidang media di Bukit Aman berkata, “saya ingin beri amaran kepada mereka yang cuba kelirukan orang ramai.

“Ini tidak benar, daripada lima orang ini, hanya seorang sahaja yang dikesan diculik.

Menurut Khalid, hanya seorang sahaja iaitu Raymond Koh yang disahkan diculik, manakala selebihnya diklasifikasikan sebagai orang hilang.

“Viral kononnya kes orang diculik. Saya ingin beri amaran pada mereka yang cuba kelirukan orang ramai, ini tak benar. Daripada lima orang, cuma seorang yang ada bukti mereka ini diculik iaitu pastor Koh,” ujar Khalid memetik Malaysiakini.

“Yang lain tak ada bukti yang tunjuk diculik dan mereka kekal sebagai orang hilang,” jelas Khalid

Menurut Khalid, sejak 2011 hingga 2015 seramai 13,290 kes orang hilang dilaporkan dan sehingga 2016 sebanyak 8,117 kes diselesaikan.

Sementara, 5,173 orang hilang masih disiasat.

Sebelum ini, anak Peter, Darryl Chong membuat laporan polis berkaitan kehilangan bapanya 8 April lalu selepas usaha menghubunginya gagal.

Chong yang juga bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pembantu Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, kali terakhir dilihat pada 5 April lalu, ketika meninggalkan rumahnya di Persiaran Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Dalam mesej tular yang diperbesar oleh pihak tidak bertanggungjawab, Chong pada 31 Mac mengaku di Facebook mendakwa beliau didekati individu tidak dikenali memberi peringatan agar berhati-hati di sebalik kes orang hilang.

Dengan “hilangnya” Chong, kononnya sudah lima aktivis yang dikaitkan dengan isu agama dikatakan hilang iaitu Pastor Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth serta aktivis di Perlis, Amri Che Mat.

Khalid meminta Chong menghubungi segera ahli keluarganya demi menghilangkan kerisauan keluarga serta mengelak berlaku salah faham dan fitnah berkaitan kehilangannya yang dikaitkan dengan penculikan terancang pihak tertentu.

Khalid berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan pihak yang sengaja menyebarkan berita tidak benar dan mengelirukan orang ramai.

Mengulas berkaitan kehilangan Koh yang didakwa diculik, Khalid berkata mereka menerima beberapa laporan berkaita beliau terlibat mengkristiankan orang Melayu.

Khalid berkata polis tiada perkembangan berkaitan kes tersebut dan mengaku ada beberapa pihak datang kepada polis meminta jaminan keselamatan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru