Curi cermin mata RM49, polis bakal ke penjara

KUCHING: Kerana cermin mata berharga RM49, seorang lelaki yang baharu empat hari ditauliahkan sebagai anggota polis bakal ke penjara.

Semuanya gara-gara cubaannya untuk mencuri cermin mata yang dipamer untuk jualan di sebuah gedung beli belah di sini.

Berdasarkan fakta kes, sekitar jam 4.05 petang Isnin lalu, pengadu yang juga seorang pengurus stor di sebuah syarikat menjual pakaian di pasar raya The Spring, telah menemui  label cermin mata jenama Tommy Flat Top di bilik persalinan.

“Pengadu kemudian ke kaunter pembayaran untuk melihat sama ada cermin mata itu tertinggal di kaunter, tetapi mendapati cermin mata itu tiada di kaunter.

“Pengadu kemudian mengarahkan  pengawal keselamatan untuk memeriksa seorang suspek.

Hasil pemeriksaan terhadap seorang pelanggan lelaki, pengadu telah menjumpai cermin mata tersebut dibalut dalam pakaian lama.

Suspek kemudian ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan awal mendapati suspek yang berusia 27 tahun baharu menamatkan Latihan Asas Kepolisian (PLAK) pada 6 April lalu di PULAPOL Segamat, Johor.

Ketika kejadian, suspek sedang bercuti seminggu di Kuching dan dijadualkan melapor diri kembali pada 15 April.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – Sarawakvoice