PYONGYANG: Korea Utara menyifatkan serangan Amerika Syarikat ke atas Syria menguatkan hujah betapa mereka perlu menguasai kuasa nuklear.

Media Korea Utara KCNA melaporkan kenyataan jurucakap kerajaan bahawa serangan AS ke atas Syria pagi Jumaat minggu lepas merupakan pelanggaran yang tidak dapat ditoleransi terhadap negara berdaulat.

Serangan 59 peluru berpandu Tomahawk tersebut merosakkan Pangkalan Tentera Udara Shayrat di Homs, memusnahkan prasarana tentera dan menewaskan sembilan jiwa.

Bagi Korea Utara, serangan peluru berpandu secara unilateral AS terhadap Syria membuktikan langkah Korea Utara memperkuat program kuasa nuklearnya sejuta kali lebih tepat.

AS merasionalkan tindakannya menyerang Syria sebagai tindak balas atas dakwaan rejim Bashar al-Assad melancarkan serangan kimia gas sarin ke atas Idlib mengorbankan sekitar 89 jiwa seperti didakwa kumpulan anti-Bashar.

AS berkonfrontasi dengan Korea Utara kerana kedegilan Pyongyang membangunkan kekuatan peluru berpandu serta membangunkan kuasa nuklearnya.

Korea Utara dikenakan sekatan ekonomi kerana melanggar resolusi PBB melarang negara tersebut meneruskan uji peluru berpandu dan kemampuan nuklearnya.

Sehingga kini Korea Utara masih melakukan ujian senjatanya dan mempertingkat keupayaannya memiliki senjata nuklear.

Pemerhati percaya, Korea Utara sudah memiliki pelancar peluru berpandu yang membawa peledak nuklear yang mampu mencapai negara ke negara jarak sederhana.

Sementara, pemerhati juga percaya, jika dibiarkan suatu hari nanti, Korea Utara mampu melancarkan serangan peluru berpandu balistik mencapai benua ke benua jarak jauh sehingga mampu mencapai AS.

Pegawai Korea Utara sebagaimana dilaporkan KCNA mengatakan, hanya kekuatan tentera yang dapat melindungi Korea Utara dari puak imperialis.

“Kita terus memperkuat kekuatan tentera pertahanan dengan pelbagai cara bagi menangani AS,” ujar pegawai berkenaan. – Sarawakvoice