Penumpang MH2718: Rasa macam dekat sangat dengan kematian

0
8

SIBU: Seorang penumpang, Mohd Nikman Hashim mengimbas detik-detik cemas ketika pesawat Boeing 738-800 dari Kuala Lumpur ke sini hendak mendarat di Lapangan Terbang Sibu pada sekitar 10.17 malam tadi.

Beliau menyatakan sudah berasa gelisah sebelum pesawat berangkat.

“Cerita sebelum berlepas dari KLIA. Hati rasa tak senang, tapi tak diendahkan. Dibiarkan jugak. Waktu naik flight, tidak ada selera makan. Makan sikit jer, walaupun lapar,” katanya dalam catatan Facebook.

“Paling tak senang, waktu nak mendarat, ada baby crying, non-stop. Waktu percubaan landing pertama, hati rasa tak senang, sebab ada baby tak stop menangis dan hujan pulak lebat. Percubaan landing pertama gagal,” tambahnya.

“Percubaan kedua pulak dilakukan selepas lebih kurang 20 minit berlegar-legar di ruang angkasa Sibu. Baby masih lagi tak berhenti menangis. Masa nampak jer kapal terbang dah masuk landasan, hati terus berdebar-debar. Tak tau sebab apa,” katanya.

Ketika hendak mendarat beliau mendapati dari cermin bahawa pesawat itu sudah di tengah-tengah landasan namun kemudiannya semakin bergerak ke tepi.

“Then nampak kapal terbang masuk ke padang sebelah landasan, bunyi kuat kat bahagian tayar, terus saya tunduk (posisi selamat) sambil mengucap. Allahu. Rasa macam dekat sangat dengan kematian,” katanya.

Selepas pesawat berhenti, beliau berasa lega seketika namun terlintas di fikirannya, bagaimana kalau berlaku kebakaran?

“Terus usaha nak cepat-cepat evacuate. Mak dan bapak kat depan, saya hanya fokus kepada org tua, semoga tidak terjadi apa-apa pada mereka,” catat beliau lagi.

Semua 61 penumpang dan 6 anak kapal selamat dalam kejadian itu.  – Sarawakvoice